Rimba Racer siri animasi tempatan terbaharu


RIMBA Racer telah menemui penonton sejak 10 Januari lepas.

SELEPAS Upin & Ipin serta Boboiboy, siri animasi tempatan terbaharu iaitu Rimba Racer dijangka menggamit perhatian penonton cilik selepas ini.

Berlatarbelakangkan saingan litar lumba di hutan belantara, siri animasi hasil karya Glue Studios itu mula bersiaran sejak 10 Januari lepas.

Pengurus Besar Kumpulan, Pengurusan Jenama & Program TV3 dan TV9, Sherina Nordin berkata, pihaknya percaya Rimba Racer bakal mendapat sambutan menggalakkan seperti Upin & Ipin dan Boboiboy.




“Kami sentiasa komited untuk menyiarkan siri animasi terbaik demi permintaan penonton setia kami, justeru kami yakin Rimba Racer akan menjadi buah mulut seperti Upin & Ipin dan Boboiboy sebelum ini.

“Antara pengajaran yang dapat diperoleh melalui siri animasi terbaharu ini, dapat memupuk sikap sentiasa bersemangat waja, selain tidak kenal erti putus asa demi mengejar cita-cita,” katanya.

Rimba Racer mengisahkan mengenai seorang pelumba jalanan, Tag dan rakan karibnya, Miles yang telah ditawarkan untuk berlumba dalam Rimba Grand Prix bersama barisan pelumba hebat lain.

Pada mulanya, Tag berentap bersama Bash Brothers dengan memandu kereta lumbanya iaitu The Ripper yang dibina oleh Miles sebelum dilamar pihak Rimba Grand Prix untuk menyertai perlumbaan berprestij itu.
Raikan Tahun Baru Cina ini Dengan Toyota Baharu !

Perjalanan demi mengejar cita-citanya untuk menjadi seorang pelumba berjaya bagaimanapun tidak semudah yang disangka apabila perlu berdepan pelbagai rintangan dan musuh ketika menuju ke garisan penamat.

Trailer: Rimba Racer



Mampukah Tag dan Miles mendapat rakan-rakan baharu di litar lumba? Dapatkah Tag meraih tajaan demi meneruskan perlumbaan dengan cemerlang?

Ayuh saksikan Rimba Racer serta ikuti perkembangan perjuangan Tag dan rakan-rakan menempuhi segala halangan dan rintangan demi mengejar gelaran sang juara perlumbaan Rimba Grand Prix.

Ia disiarkan di saluran TV3 pada setiap Sabtu, pukul 5 petang dalam Slot Bananana! ‘Where Kids Rule’.

Siri animasi Rimba Racer sebanyak 13 episod itu yang telah dilancarkan pada 17 Disember 2014 oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga dijangka bersiaran di saluran NTV7 dalam bahasa Inggeris tidak lama lagi.



Previous Post Next Post