Kaka mahu pergi lebih jauh



DIKAITKAN dengan pengaruh ibu saudaranya Ella, tidak melemahkan semangat Kaka untuk menyinar dengan cara sendiri dalam dunia seni suara tanah air.

LEBIH kurang empat tahun lalu, wanita bertubuh kecil ini menguak pintu industri hiburan tanah air. Ketika itu dia tidak lagi mahu melihat daripada luar. Dia tekad mahu melangkah masuk. Harapannya cuma satu, agar apa yang diinginkan menjadi kenyataan.

Di dasar hatinya, dia sebenarnya seperti kebanyakan mereka yang sudah berada di dalam sana. Pernah berkira-kira akan apa nasib diri yang bakal diterimanya. Bukan takut, tetapi cerita-cerita yang pernah menyelinap di telinganya kadangkala bikin dia sedikit gusar.

Bagaimanapun, itu semua tidak menghalang dirinya untuk terus mencuba.

Ini kerana, hakikatnya, di muka bumi ini, baik atau buruk pengalaman yang dilalui, semua itu yang akan menjadikan seseorang itu lebih mengenali diri sendiri.




Dia tahu, sebagai orang baharu ketika itu, banyak perkara perlu diteroka.

Jika sebelum ini, dia hanya banyak menjengah melihat apa yang ada di dalam. Hari ini dia sudah mampu berpijak. Berdiri teguh di tanah yang menjadi lubuk rezeki buat golongan yang punya minat dan kecintaan yang sama dengan dirinya.

“Saya masih ingat lagi, dahulu sewaktu saya masih kecil, ibu saudara (penyanyi Ella) memang gemar membawa saya ke mana-mana konsert atau program yang dihadirinya. Daripada situ, saya banyak melihat bagaimana kehidupannya.

“Saya sendiri berasa seronok setiap kali mengikutnya kerana melihat dia menyanyi dan beraksi di hadapan penonton,” ujarnya dalam satu sesi fotografi bersama Sensasi Bintang baru-baru ini.

Tak mahu dibayangi nama orang

Menjadi anak saudara kepada ratu rock negara, Ella, barangkali ramai yang beranggapan laluan penyanyi berusia 26 tahun itu untuk menempa nama menjadi lebih mudah.

Dengan erti kata lain, secara tidak langsung, tiap kali namanya disebut, dia sudah terkait dengan nama penyanyi rock popular itu.

“Sejak saya mula masuk, memang orang banyak mengaitkan diri saya dengan ibu saudara saya. Orang akan cuba samakan saya dengan Ella.

“Saya tidak dapat mengelak daripada orang mengatakan perkara tersebut. Cuma saya juga mahu orang kenal saya kerana diri saya, iaitu Kaka Azraff,” cerita penyanyi berusia 26 tahun itu.

Daripada sudut nama, ia mungkin satu bonus buat dirinya. Sungguhpun begitu, wanita yang mesra membahasakan dirinya sebagai Kaka itu tidak pernah menganggap itu sebagai satu tiket untuk dia terus berada di kerusi selesa.

Hakikatnya, dia seperti rakan-rakan seni yang lain. Ada pahit, dan ada juga rasa manis yang dia perlu telan. Buktinya sudah ada dalam buku catitan kariernya. Pada awal kemunculan Kaka, dia sudah berdepan dengan cabaran cukup besar.

Ombak besar yang datang pada awal 2012 benar-benar menguji dirinya. Mana tidaknya, lagu Bawaku Pergi nyanyiannya bersama pelakon Zizan Razak mencetuskan kontroversi apabila naskhah komposer Malique itu diharamkan.

Semuanya dek bait-bait lirik yang dikatakan mempunyai unsur negatif apabila ia digambarkan sebagai sebuah lagu yang mengajak golongan remaja lari daripada rumah.

Pergi lebih jauh

Sungguhpun ketika itu anak kelahiran Klang, Selangor itu baru sahaja mahu bertatih dalam industri, dia tidak pernah membiarkan dirinya tersungkur.

Dia sedar, itu cabaran yang perlu dihadapi untuk dia pergi jauh.

Dalam dia cuba bangkit untuk terus berdepan hari-hari mendatang, sekali lagi dugaan datang buat pemilik nama sebenar Nor Atiqa Noor Azraff itu pada tahun lalu apabila berlaku permasalahan dalaman syarikat naungannya, Wirefame Entertainment Sdn. Bhd.

“Apa yang dilalui selama ini semuanya merupakan pengalaman berguna buat saya, Apa yang berlaku sebelum ini, membuka ruang untuk pergi lebih jauh.

“Saya tidak pernah menganggap itu sebagai satu pengalaman buruk. Segala apa yang dilalui itu tidak memberi impak negatif kepada saya. Ia merupakan satu pengalaman yang mematangkan,” ceritanya pelantun lagu Infiniti Cinta itu.

Hari ini, dia memasuki fasa baharu yang lebih segar. Derap langkahnya juga semakin laju. Meniti tahun 2015, Kaka mengharapkan ada satu sinar yang akan terus menjadi penerang dalam karier seninya.

Mahu imej baharu

Dia tidak mahu lagi dibayangi dengan kisah-kisah lalu. Bagi Kaka, dia perlu terus mara ke hadapan tanpa perlu berlengah.

“Tahun ini, saya mahu keluarkan sebuah album dengan konsep diri saya sendiri. Saya mahukan muzik menyerlah dan dapat tarik pendengar menghayati lagu-lagu yang saya bawa.

“Kemungkinan besar album bergenre pop R&B itu bakal menjengah pasaran selepas raya. Dalam masa terdekat, saya juga akan mengeluarkan single dalam masa terdekat berjudul Bukan Halaku nyanyian bersama Sleeq,” katanya.

Bukan sahaja daripada aspek lagu, kata Kaka, tahun ini dia juga mahu tampil dengan imej baharu.

“Akan ada pembaharuan dari segi penampilan imej. Ia akan saya sesuaikan mengikut konsep album yang akan dikeluarkan nanti,” katanya yang bakal membintangi filem berjudul 7 Dimensi.

Selain aktiviti nyanyian dan lakonan, tahun ini juga menjadi titik permulaan buat Kaka apabila mula terlibat dengan aktiviti kemasyarakatan berskala mega selepas dilantik sebagai selebriti Red Ribbon di bawah Majlis AIDS Malaysia.

“Menerusi perlantikan itu, saya terlibat dengan aktiviti berbentuk kebajikan dan program amal, selain memupuk kesedaran orang ramai dalam menangani stigma masyarakat terhadap mereka yang menghidap HIV dan AIDS,” ujarnya menutup bicara.



Previous Post Next Post