Aksi Hisyam Hamid bersama Ifa Raziah yang mendapat kritikan peminat.
PELAKON drama bersiri popular Ariana Rose ini mengakui akan mempertimbangkan mana-mana tawaran yang diberikan kepadanya jika melibatkan aksi mesra yang boleh mengundang rasa kurang senang di mata penonton.
Kata Hisyam Hamid, dia tidak mahu menimbulkan sebarang isu seperti yang berlaku ketika menjadi pelakon undangan bagi menjayakan konsert akhir Gegar Vaganza bersama penyanyi Ifa Raziah baru-baru ini.
"Saya sebenarnya terkejut dan tidak sangka perkara tersebut akan menjadi sebesar ini.
"Walhal dalam lakonan, masih banyak adegan yang lebih seksi dan mesra dipamerkan.
"Apa pun, saya ambil semua itu sebagai pengajaran dan pengalaman sebagai anak seni," katanya kepada Zass.
Di tanya apakah perkara tersebut boleh menjejaskan kariernya yang sedang meningkat naik, dia bagaimana yakin ia tidak memberi sebarang kesan kepada kerjaya.
"Apa yang saya lakonkan bersama Ifa di pentas tersebut juga lakonan semata-mata. Dan saya bersyukur kerana ada peminat yang faham dengan tugas saya sebagai pelakon," katanya.
Ketika diminta mengulas mengenai reaksi segelintir peminat yang menyamakan aksi mereka dengan kontroversi Kpop, Hisyam berkata;
"Saya terima apa sahaja teguran dan akan memperbaiki kesilapan. Malah saya berterima kasih kepada peminat yang nasihatkan saya.
"Saya tidak mahu memikirkan sangat isu tersebut dengan menganggap ianya sebagai cabaran bergelar anak seni," jelas pelakon kelahiran Singapura ini.
Berkongsi mengenai perkembangan terbaharunya, pelakon yang sedang popular menerusi drama bersiri Cinta Ibadah ini sedang sibuk menjalani penggambaran bagi sebuah telenovela berjudul Mencari Cinta Suraya bersama pelakon cantik Anzalna Nasir.