Muna, Mangsa Penyingkiran Konsert Keempat #AF2014



Walaupun telah memberikan persembahan terbaik pada konsert keempat #AF2014, namun nasib tidak menyebelahi Muna apabila namanya telah diumumkan sebagai pelajar ketiga tersingkir malam tadi.

Muna atau nama sebenarnya Muna Shahirah Munadi terpaksa akur dengan keputusan yang diberi dengan peratusan undian terendah iaitu sebanyak 5%.

Dengan tema ‘Tribute Komposer’, pelajar berusia 20 tahun itu telah menyampaikan lagu berjudul ‘Kekal’ ciptaan composer terkenal Saari Amri dan nyanyian asal oleh Ziana Zain.






Selain Muna, pelajar yang turut mendapat undian terendah ialah Ziha dengan peratusan undian sebanyak 7% dan diikuti dengan Nina iaitu 5%. Manakala pelajar yang mencatatkan undian tertinggi adalah Azwan, 21%, Firman, 17%, Adel, 10% dan Ewal, 9%.

Dalam pada itu, konsert keempat #AF2014 juga dimeriahkan dengan persembahan kumpulan Bunkface dan juga penyanyi terkenal negara iaitu Ziana Zain.

Para pelajar #AF2014 juga turut memberikan persembahan tribute istimewa komposer terkenal Allahyarham Zul Adnan Mohd Razali atau nama penanya JS Kevin dengan menyanyikan beberapa karya popular ciptaan beliau seperti 'Misteri Mimpi Syakila', 'Air Mata Jernih', dan ‘Semangat Yang Hilang’.

Kejutan buat Nuha apabila di pertengahan persembahannya penyanyi asal lagu berjudul ‘Sebelah Jiwaku’ Jacklyn Victor turut sama menyanyikan lagu tersebut.




Begitu juga dengan Ewal yang tidak menyangka bahawa bapanya hadir untuk memberikan sokongan serta berpeluang berduet bersama bapanya dengan lagu ‘Lena Diulit Intan’.

Selain itu, tiga orang juri yang bertanggungjawab untuk memberi komen terhadap para pelajar pada minggu keempat ini ialah Dato’ Ramli MS dan Raja Azura selaku juri tetap manakala diva tersohor Ziana Zain selaku juri jemputan.

Penyingkiran Muna diumumkan oleh hos #AF2014, Zizan Razak dan Faizal Ismail.

Konsert keempat #AF2014 bersiaran secara langsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Dengan penyingkiran pelajar Muna itu, kini tinggal sembilan orang bintang #AF2014 yang akan meneruskan perjuangan mereka sehingga bergelar juara.

Facebook Akademi Fantasia: https://www.facebook.com/akademifantasiamy
Previous Post Next Post