Ribbit, Kisah Pengembaraan Si Katak Yang Mengalami Krisis Identiti



Filem: Ribbit

Pengarah: Mamat Khalid (versi Bahasa Melayu), Chuck Power (versi Bahasa Inggeris).

Pelakon: Johan Raja Lawak (Ribbit), Elfira Loy (Siti), Awie (Kulup), Dato’ Aznil Hj Nawawi (Mat Rompi), Izzue Islam (Labah-Labah), Adam AF (Balan), One Forteen (Dukun Istana), Jihan Muse (Milah).

Terbitan : KRU Studios (Kartun Studios Sdn Bhd)

Tayangan : 4 September 2014






Ulasan Penulis :

Filem animasi pertama terbitan KRU Studios menerusi anak syarikat mereka yang ke-11 iaitu Kartun Studios Sdn Bhd sememangnya sesuai untuk ditonton oleh semua lapisan masyarakat.

Malah Filem ini juga telah memenangi anugerah ‘Filem Keluarga Terbaik’ semasa tayangan perdana Dunia di Niagra Integrated Film Festival (NIFF) 2014 yang berlangsung di Canada pada 21 Jun 2014.

Diterajui oleh pengarah berpengalaman iaitu Mamat Khalid (untuk versi Bahasa Melayu) telah membuatkan filem adaptasi ini kelihatan sungguh menarik dan tidak membosankan selain visual dan kualiti gambarnya yang agak memuaskan.

Dari segi karakter pula, watak Ribbit yang menggunakan suara pelawak terkenal iaitu Johan sememangnya pilihan yang tepat kerana gaya dan penyampaiannya lebih kepada aksi spontan yang membuatkan penonton tidak kering gusi.

Contohnya babak Ribbit yang melatah dan panik ketika bertemu dengan seekor buaya ganas iaitu Balan semasa pengembaraannya mencari tuan puteri.


Ribbit dan Siti sedang menenangkan Balan si buaya ganas

Sedikit kelainan yang diberikan menerusi filem Ribbit ini ialah apabila setiap haiwan yang ditemui Ribbit akan bertutur dalam bahasa yang berlainan.

Antara babak yang menarik perhatian penulis ialah apabila Ribbit bertemu dengan tiga ekor anak harimau yang nakal bertutur dalam loghat utara dan juga seekor labah-labah jahat yang bertutur dalam loghat Kelantan.



Ribbit bersama tiga ekor anak harimau yang bertutur dalam bahasa utara. Comelkan?

Apa yang lebih mengujakan ialah filem ini memaparkan keindahan hutan Amazon sebagai latar belakang yang mampu membuatkan penonton terpukau.

Kehebatan ‘Ribbit’ juga terletak pada kredibiliti pelakon-pelakonnya yang berjaya membawakan suara mereka menyamai watak-watak yang diberikan. Sebagai contoh babak Siti yang menggunakan kelembutan suara Elfira Loy yang cuba memujuk Ribbit supaya tidak meneruskan hasratnya untuk meninggalkan tempat tingal mereka cukup menjadi.

Bagi penulis, filem ini secara keseluruhannya hebat dan penuh dengan aks lucu dan mendebarkan selain nilai-nilai murni yang diterapkan sesuai untuk tontonan seisi keluarga.




Sinopsis:

‘Ribbit’ mengisahkan tentang seekor katak yang mengalami krisis identiti menggembara di hutan dalam pencarian hala tuju hidupnya yang sebenar.

Walaupun pelbagai halangan dan dugaan yang menimpnya bersama rakan baiknya iaitu Siti namun itu tidak mampu menghalang semangat Ribbit untuk meneruskan niatnya.

Adakah Ribbit mampu mengubah kehidupannya setelah bertemu dengan puteri?

Apakah yang bakal terjadi kepada mereka?

Jangan lupa saksikan filem animasi ini dipawagam berhampiran bermula 4 September 2014 di pawagam berhampiran dan bakal diedarkan dalam format Stereoscopic 3D di pawagam-pawagam terpilih.

Sebelum itu jom saksikan sedikit sedutan filem ini di bawah:

Previous Post Next Post