Zul Ariffin (kiri) dan Gayatri
Teman wanita kepada aktor Zul Ariffin iaitu Gayatri Su-Lin Pillai terkejut apabila dituduh sengaja memuat naik status sindiran di laman sosial Twitter yang kononnya ditujukan kepada heroin drama bersiri Rindu Awak 200% iaitu Ayda Jebat.
Gayatri yang juga Pengurus Besar Astro Shaw berkata, dia sendiri tidak pasti status apakah yang dikatakan itu kerana dia jarang memberi tumpuan kepada media sosial peribadi miliknya atau pun orang lain.
"Saya tidak perlu berbuat demikian kerana tidak mempunyai sebarang masalah dengan aktres tersebut.
"Tambahan pula saya jarang beri perhatian terhadap media sosial dan saya terkejut juga apabila dikatakan memuat naik status menyindir Ayda," katanya kepada mStar Online.
Gayatri ditemui pada majlis sidang media pelancaran lagu tema filem Amir & Loqman Pergi Ke Laut iaitu Sampai Bila nyanyian Waris dan Mark Adam di Red Box Ria Sogo di sini, Selasa.
Filem arahan Mamat Khalid itu akan menemui penonton di pawagam pada 25 September ini.
Ayda Jebat
Gayatri mengulas isu kononnya dia bersikap cemburu terhadap kemesraan Zul dan Ayda yang sama-sama terlibat dalam drama siri berkenaan sehingga menyebabkan hubungan cinta mereka dikatakan mengalami masalah.
Dalam pada itu, Gayatri berkata, sebagai seorang manusia biasa dia menganggap sikap cemburu dalam sesuatu hubungan adalah perkara normal dan dia tidak terkecuali daripada perasaan itu.
Bagaimanapun kata Gayatri, sebagai seorang penerbit filem dia profesional dan memahami situasi kedua-dua pelakon itu yang perlu mempromosikan drama berkenaan.
"Jika saya tidak cemburi pasti ada seauatu yang tidak kena dalam hibungan kami tetapi saya profesional dan begitu juga mereka. Isu itu hanya diperbesar-besarkan oleh orang lain," jelasnya.
Sementara itu, Gayatri berkata, hubungannya dengan Zul masih berjalan seperti biasa namun dia enggan bercakap lanjut mengenainya.
"Saya jarang bercakap soal peribadi kerana ia tidak akan berkesudahan tetapi apa yang boleh saya katakan hubungan kami masih berjalan seperti biasa," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Gayatri berkata lagu Sampai Bila memang digubah khas oleh DJ Fuzz untuk lagu tema filem Amir & Loqman Pergi Ke Laut.
Pihaknya yakin lagu itu akan memberi impak kepada filem tersebut dalam menarik perhatian penonton ke pawagam.
"Ia sebuah lagu yang cukup sesuai dengan filem itu dan pihak kami sedang dalam rangka promosi lagu berkenaan," katanya.