AR Tompel bukan lelaki gatal!


AR Tompel

MENERUSI telefilem Saloma yang disiarkan di saluran Astro First Eksklusif, Allahyarham AR Tompel lakonan aktor, Azhan Rani dipaparkan seorang yang gatal, nakal, gemar bersosial di kelab malam dan tidak bertanggungjawab.

Namun, perkara itu disangkal sekeras-kerasnya oleh bekas isterinya, Ruminah Sidek atau lebih mesra disapa sebagai Mak Mah.






"Dia bukanlah seorang yang nakal dan gatal tetapi diakui ramai wanita sukakan dia walaupun dia tidaklah sekacak mana pun.

"Saya sedih menonton telefilem itu sebab Tompel bukanlah seperti itu," katanya dalam sidang akhbar oleh waris-waris AR Tompel berhubung telefilem Saloma di Perbadanan dan Kemajuan Nasional Filem Malaysia (Finas).

Pelakon berusia 68 tahun itu sebaliknya mengakui Allahyarham Tompel adalah seorang lelaki yang sering menjadi perhatian dan digilai ramai wanita.

Kata Mak Mah lagi, dalam telefilem itu turut menunjukkan babak Tompel yang sangat agresif dalam memikat wanita sedangkan dalam dunia sebenar dia bukanlah seperti yang digambarkan.

"Saya berkahwin dengannya selepas bapa saya sedar yang kami seperti suka di antara satu sama lain lantaran kami pernah bekerjasama beberapa kali dan pernah menyimpan perasaan.

"Dalam tempoh itu, dia tak pernah tunjuk yang dia ada hati kepada saya walaupun ketika itu dia sukakan saya. Malah, saya panggil dia pakcik atas dasar hormat kepadanya," katanya.

Ibu kepada pelakon Adlin Aman Ramlie ini juga menafikan Tompel adalah seorang yang sombong, cemburu dan pemarah seperti dalam telefilem berkenaan.

"Sepanjang perkahwinan kami berlangsung, dia memarahi saya dua kali saja. Pelik pula bila watak Tompel dalam telefilem itu menunjukkan dia sebegitu," katanya.


Previous Post Next Post