Empat dekad Salamiah Hassan



PADA mulanya tidak banyak ekspektasi positif lahir daripada penggemar seni persembahan pentas apabila penyanyi Salamiah Hassan menyatakan impiannya untuk mengadakan konsert solo. Tambah pula ia diadakan di Istana Budaya.

Ramai yang beranggapan, pada usia 50-an, penyanyi itu tempatnya di rumah, bukan lagi tergedik-gedik di atas pentas. Malangnya jangkaan itu meleset sama sekali apabila Salamiah mula membuka mulut.

Dalam konsert itu, Salamiah memperdengarkan vokal lunaknya dengan penuh dinamik dan bertenaga. Ada suatu aura padu yang berjaya menakluk seisi panggung.

Salamiah mengimbau sejarah awalnya menyertai pertandingan Bakat TV 1971 menerusi lagu If You Go Away sekali gus membuka tirai konsertnya.

Kredit perlu diberikan kepada penerbit dan pengarah Konsert Gelombang Salamiah Hassan, Raja Azmi dan Pat Ibrahim yang telah meneraju pergerakan menjelang persembahan memukau penyanyi itu sepanjang tiga malam.

Sesuai dengan jenama yang diberi untuk konsert tersebut, Salamiah membawa audiens menyusuri perjalanan suka dukanya sepanjang hayatnya di pentas seni suara.

"Lagu If You Go Away menjadi sebahagian daripada hidup saya, menyimpan memori terindah kerana ketika itu arwah ayah saya melarang keras saya menyanyi apatah lagi untuk muncul di depan kaca televisyen.

"Pada waktu itu juga, arwah emak saya terpaksa menyimpan duit untuk membeli baju broked itu. Oleh kerana tidak cukup duit, baju itu tidak beralas dan sepanjang malam saya menahan gatal-gatal," ceritanya teruja.

Titik mulanya di pertandingan Bakat TV membuka sejuta langkah untuk Salamiah terus beraksi di dunia nyanyian. Sejak itu, Salamiah mula dikenali dan disunting oleh Datuk Ahmad Nawab dan menerbitkan EP pertamanya, Surat Terakhir pada tahun 1973.




Gapai bintang

Akui Salamiah, cita-citanya untuk bergelar jururawat beralih arah apabila memberanikan diri melangkah ke dunia nyanyian. Tidak berbakat dalam dunia lakonan, usaha terbaiknya hanya mampu ditampilkan dalam klip video lagu Cita-Citaku.

Segmen kedua disulami Salamiah dengan beberapa jenaka sambil bercerita. Lagu-lagu seperti Bila Hati Dah Sayang, Kau Dan Alasanmu dan Surat Terakhir membawa audiens merentasi zon waktu.

"Saya suka menyanyi dan tidak pernah terlintas untuk menjadi diva, seperti kalian juga, saya menyanyi untuk mencari rezeki dan kerana lagu Surat Terakhir orang mula mengenali Salamiah Hassan," ujarnya.

Salamiah meneruskan segmen itu dengan rangkaian lagu bahasa Inggeris, I Feel the Earth Move, Upside Down, Frim Fram Sauce dan Fever bersama sebiji bola disko besar yang diturunkan di tengah-tengah pentas.

"Arwah ayah saya (Hassan Abd. Hamid) seorang yang tegas, katanya saya boleh menyanyi di kelab malam tapi syaratnya saya perlu dihantar dan diambil sendiri olehnya di kelab-kelab malam yang saya bekerja di sekitar Kuala Lumpur. Di kelab malam saya mula diperkenalkan dengan lagu-lagu jazz," tambah Salamiah.

Salamiah turut berduet bersama anaknya, Atilia menerusi lagu Kadang Kala dan Atilia beraksi solo menyanyikan lagu popular Salamiah, Cintaku Mengatasi Segalanya.

Segmen Tribute to Mom sejujurnya paling menyentuh hati. Kenang Daku Dalam Doamu, Kini Hatiku Telah Tertawan dan Patah Hati antara rangkaian lagu pujaan arwah ibu Salamiah, Sabariah Aziz.

Pemuzik yang dipimpin oleh Aubrey Suwito turut disertai abang Salamiah yang pernah memimpin Orkestra RTM, Ahmad Shariff bermain akordian sepanjang segmen itu.

Sambil mengucup dahi abangnya, ungkap Salamiah: "Arwah emak kita suka menyanyi lagu ini."

Iklan

Melewati zaman kegemilangan Salamiah menyanyikan iklan produk popular tempatan barangkali ramai yang tidak menduga pemilik vokal di sebalik lagu-lagu iklan tersebut milik penyanyi genit kelahiran Kuala Lumpur itu.

KFC, TV3, Paddle Pop, Buttercup, 7UP, Maggi dan Hazeline Snow antara 500 buah jenama yang pernah meminjam vokal Salamiah dan sempena konsert itu juga dipaparkan beberapa petikan video iklan produk popular berkenaan.

"Sejujurnya, terbabit dengan iklan agak penat buat saya kerana saya perlu melunaskan tanggungjawab itu setiap hari. Ya, zaman itu iklan adalah sumber pendapatan utama saya tapi bukan mudah menyanyi untuk iklan.

"Ia adalah penyeksaan minda yang sarat dan padat! Bayangkan dalam tempoh kurang 30 saat kita perlu menyanyi lagu sama berulang-ulang kali dalam dwibahasa," tutur Salamiah lanjut.




Lagu yang pernah popular sekitar era 1980-an, Wanita turut dipersembahkan Salamiah penuh bersemangat sebelum melengkapi hit Menghitung Hari, Semut-Semut di Titian Usang, Hanya Engkau Dan Aku, serta Aku Curiga.

Menyeret emosi audiens lebih mendalam, Salamiah menyanyikan kembali tiga buah lagu popular Allahyarham Saloma iaitu Mahligai Kayangan, Bintang Malam dan Boleh Dilihat Dipegang Jangan penuh penghayatan.

Mengakhiri konsert, sebuah lagu baharu yang dicipta oleh Aubrey Suwito dan nukilan lirik AD Samad berjudul Aku diperdengarkan kali pertama. Tidak lengkap Konsert Gelombang Salamiah Hassan tanpa single hit Gelombang yang menutup tirai konsert.

Terlalu banyak yang telah dilalui oleh Salamiah Hassan sepanjang empat dekad bergelar anak seni. Dia masih Salamiah yang manja dan mesra!

ARTIKEL BERKAITAN: Salamiah Hassan Menghitung Hari Kini Giat Jalani Latihan
Previous Post Next Post