Neelofa buang masa di LA?



MINGGU lalu, ketika sedang asyik bergelak ketawa dengan rakan-rakan di sebuah restoran makanan Itali, Mizz Lahar disapa oleh seorang kawan yang sudah lama tidak bersua muka. Siapa lagi kalau bukan Tiana Kesuma yang kini sibuk dengan bisnes bedak sejuknya.

Setelah bertanya khabar, tiba-tiba terkeluar cerita berkenaan pelakon putih gebu Neelofa yang sekarang sedang menyambung pengajian di Sekolah Filem dan Lakonan Akademi Filem New York, Los Angeles (NYFA), Amerika Syarikat.

Menurut Tiana, ada rakannya yang menuntut di sekolah yang sama dengan pelakon itu memberitahunya, Neelofa seperti membuang masa di sana kerana kurang diberi tugasan.




Kata Tiana lagi, jika Neelofa diminta untuk menjadi pelakon bagi produksi pelajar-pelajar lain yang mengambil jurusan pengarahan filem, barulah dia akan ada tugasan. Kalau tak terpilih, terpaksalah dia menghabiskan masa bermonolog dan membaca buku di perpustakaan.

Kata Tiana, menurut pelajar-pelajar di sana lagi, seseorang yang berpengalaman dalam bidang lakonan tidak perlu mengambil kursus tersebut. Hanya orang yang mahu belajar berlakon sahaja yang berbuat demikian.

Jika dia tidak menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam bidang lakonan, maka suramlah peluangnya untuk berlakon dengan mana-mana produksi. Jadi, sia-sialah Neelofa belajar di LA tanpa sebarang pengalaman.




Bagi Mizz Lahar, biarlah Neelofa menimba pengalaman di negara orang. Bila balik ke Malaysia, bolehlah berkongsi apa yang dipelajarinya dengan rakan-rakan artis di sini. Bak kata pepatah Inggeris, sharing is caring.

MIZZ LAHAR: Kangkung itu kan makanan, kenapalah perlu dijadikan bahan lawak?
Previous Post Next Post