Pencarian Aqasha



Kebelakangan ini Aqasha, 31, jarang membintangi mana-mana drama bersiri atau telefilem. Situasi itu membuatkan ramai beranggapan pelakon yang mula dikenali sebagai penyanyi itu memilih dan letak harga.

Bagaimanapun, Aqasha menafikan dia kini letak harga. Katanya, bukan itu alasan utama mengapa dia jarang muncul di televisyen dan juga filem akhir-akhir ini.

“Memilih itu mungkin kerana sekarang ini kalau kita lihat kebanyakan drama dihasilkan temanya sama. Selalunya ia berkisar cinta remaja, perbalahan keluarga berharta dan cinta mendapat tentangan. “Tawaran yang sampai juga wataknya seakan sama seperti yang pernah saya lakukan sebelum ini. Kerjaya juga harus berkembang mengikut peningkatan usia. Rasanya saya sudah tidak sesuai melakonkan watak dan cerita kekasih muda bercinta dan mendapat tentangan orang tua mahupun cinta tiga segi. “Pelakon digandingkan juga jauh lebih muda dan tidak sesuai membuatkan saya menolak. Bukan saya memilih disebabkan kredibiliti mereka sebagai pelakon, sebaliknya lebih kepada melihat kesesuaian,” katanya.

Mengenai siapa pelakon wanita yang dia selesa bekerja, Aqasha atau nama sebenar, Firdee Aqasha Rosli akui sebelum ini agak rapat dan selalu digandingkan dengan Rita Rudaini. Malah penonton sendiri suka gandingan mereka berdua.


“Tapi kalau tanya sekarang ini siapa yang saya mahu berlakon atau digandingkan, saya tidak boleh memberikan jawapan kerana saya jarang mengikuti perkembangan pelakon muda sedia ada sekarang.




“Saya percaya setiap daripada mereka memiliki bakat yang boleh dikembangkan, cuma untuk digandingkan sebagai pasangan bercinta pasti kelihatan janggal pada mata penonton,” katanya.

Katanya, selepas 14 tahun dalam dunia lakonan dia tidak lagi mahu dilihat berlakon hanya sekadar menyudahkan kerja sebaliknya biarlah ia memberi makna kepada dirinya mahupun peminat.

“Hampir dua tahun saya tidak berlakon sebarang drama kerana tawaran diberi dirasakan kurang sesuai. Walaupun tidak berlakon saya masih lagi meneruskan kerja-kerja seni saya seperti membuat perancangan membabitkan produksi terbitan Camwerk Studios dan juga penerbitan album,” katanya. Bercerita lanjut mengenai apa yang dicari dalam kerjaya seni terutama lakonan, atau tema yang bagaimana dimahukan, katanya, dia mahu genre ditampilkan itu lebih besar dan mempunyai unsur-unsur kemanusiaan, nilai keinsafan atau lebih tepat lagi cerita disiarkan itu mampu memberikan sumbangan kepada menimbulkan kesedaran keagamaan dan keharmonian.
Previous Post Next Post