Artis veteran cari dana



USIA bukan penghalang kepada ahli Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia untuk membantu orang ramai.
PERSATUAN Kebajikan Artis Veteran (PKAV) merancang untuk menganjur Malam Amal pada bulan April ini bagi mengumpul dana untuk disalurkan kepada Yayasan Datuk Aziz Sattar yang juga presiden persatuan tersebut.

Menurut Setiausaha Kerja persatuan itu, Elyza Mustaffa, nama yayasan tersebut dipilih sempena nama presiden kerana ia adalah idea asal pelakon veteran itu.

Katanya, walaupun yayasan itu atas nama Aziz tetapi ia diurus oleh ahli jawatankuasa persatuan.

Orang kedua yang dipertanggungjawab menjaga yayasan itu adalah Timbalan Presiden PKAV, Kismah Johar dan dibantu oleh Setiausaha, Wong Sit Men.

"Memang niat Datuk Aziz untuk bantu rakan-rakan artis kerana dia sering didatangi ahli persatuan untuk meminta bantuan. Kebanyakan persatuan hanya membantu ahli, menerusi yayasan yang ditubuh, persatuan ini akan membantu ahli dan anggota keluarga mereka mengikut keadaan semasa.




"Untuk tujuan itu, kami bercadang mengadakan majlis di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur, bagi mengumpul dana. Kami menyasarkan kutipan sebanyak mungkin. Manakala persembahan pada malam itu akan dijayakan oleh ahli persatuan sendiri seperti Hail Amir, Datuk Ali Mamak, Abon dan koir persatuan," katanya kepada Hits.

Jelasnya, sejak persatuan tersebut ditubuhkan pada 2009, ahli yang berdaftar adalah seramai 200 orang yang terdiri daripada penggiat dalam bidang seni suara, lakonan, arahan atau penulisan.

"Malam Amal itu merupakan projek utama PKAV setakat ini. Inilah caranya untuk kami membantu ahli dan keluarga mereka.

"Mungkin di masa akan datang persatuan boleh menganjur program lain untuk mengumpul dana lagi," tambahnya.

Dalam pada itu, kata Elyza, walaupun ahli persatuan orang lama namun semangat mereka tidak pernah padam.

Katanya, setiap kali ada aktiviti, kebanyakan ahli akan turut serta dan terdekat ini mereka akan menjayakan program senam seni di Raub, Pahang.

"Semangat orang lama ini amat kental. Tiap kali ada aktiviti mereka pasti turut serta. Untuk program senam seni ini, 44 ahli telah bersetuju untuk sertai.

"Sebenarnya kami bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana persatuan yang berminat, tak kiralah untuk menjayakan persembahan pentas atau kebajikan," katanya.

Kata Elyza, sebelum ini ahli persatuan pernah turun membantu mangsa banjir di kawasan Pekan dan Kuantan, Pahang.

"Kebetulan kami berada di Pahang menjayakan persembahan di lima daerah dan sebelum bertolak balik ke ibu kota, kami sempat membantu mangsa banjir di kawasan berdekatan, termasuk di Kemaman, Terengganu.

"Persatuan ini sedia turun padang untuk menghulur bantuan kepada mereka yang memerlukan kerana kami percaya, sikap tolak ansur dan tolong menolong boleh mengeratkan hubungan antara artis dan orang ramai," tambahnya.
Previous Post Next Post