APABILA bercakap tentang seni tarian asli Melayu seperti inang, joget dan zapin, dua persepsi penting yang akan terpacul di benak pemikiran masyarakat adalah soal gemerlapan glamor serta masa depan para penggiat yang mahu menjadikannya sebagai kerjaya.
Sebab itu, tidak hairanlah para penari irama tradisional seperti ini hanya dilihat sebagai karyawan tempelan sahaja. Ia sekadar mengisi ruang pada sambutan-sambutan tertentu seperti Hari Kemerdekaan dan juga pada majlis-majlis rasmi anjuran kerajaan sahaja.
Bagaimanapun, penari irama Melayu juga sebenarnya mempunyai masa depan yang cerah dan masih belum diterokai secara meluas termasuklah di peringkat antarabangsa. Namun, sebelum mengorak langkah ke arah itu, generasi penari pelapis harus disediakan.
Kalangan penari terutama generasi muda harus dipupuk dan dilahirkan bukan sahaja menerusi agensi kerajaan seperti Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara semata-mata. Sebaliknya, syarikat persendirian atau Badan Bukan Kerajaan (NGO) juga boleh turut serta.
Pak Ngah Production (PNP) misalnya, antara syarikat produksi tempatan yang komited dan serius dalam usaha melahirkan golongan penari tarian tradisional generasi baharu. Usaha itu telah dijalankan oleh pemiliknya Datuk Suhaimi Mohd. Zain, 55, sejak 12 tahun lalu.
Dia yang lebih dikenali sebagai Pak Ngah berkata, bagi mencapai matlamat itu pelbagai usaha telah dilakukannya terutamanya dengan penubuhan kelas tarian Swatari. Program itu diharap dapat mengikis persepsi kurang tepat orang ramai terhadap penari tarian Melayu hari ini.
"Ramai orang fikir buang masa masuk kelas tarian Melayu, apatah lagi mahu menjadi penari tradisional sepenuh masa, kononnya tiada masa depan. Persepsi itu salah kerana bidang tarian semakin berkembang pesat dan menjadi tumpuan dalam banyak acara di negara ini.
"Contohnya dalam acara Citrawarna, Hari Kemerdekaan dan majlis-majlis rasmi kerajaan di seluruh negara dan undangan mengadakan persembahan-persembahan di luar negara.
"Sebab itu, PNP menganjurkan kelas Swatari bagi melahirkan lebih ramai penari pelapis pada masa depan. Setakat ini, Swatari telah melahirkan hampir 1,500 penari sejak 2001 di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur," katanya kepada Hits semasa ditemui di pejabat PNP, baru-baru ini.
Pak Ngah berkata, kelas tarian sesi terbaharu selama 10 bulan akan dimulakan tidak lama lagi yang mana bagi pelajar berumur enam hingga 12 tahun bayaran dikenakan cuma RM50 sebulan, manakala bagi pelajar berusia 13 tahun dan ke atas pula yurannya RM70 sebulan.
Katanya, banyak elemen dalam seni tarian asli yang secara tidak langsung menitipkan pengaruh jati diri budaya masyarakat Melayu.
"Dalam tarian ini bukan setakat menari tetapi juga ada elemen lain seperti pencak silat. Ini juga salah satu elemen dalam budaya Melayu yang sedikit sebanyak turut diselitkan dalam pembelajaran dalam Swatari. Tarian boleh dikatakan salah satu cara kita boleh menjaga budaya Melayu.
"Sebenarnya dalam PNP kami turut menyediakan aktiviti pembelajaran yang membabitkan seni vokal dan muzik tetapi kami lebih mengutamakan seni tarian.
"Usaha kami ini secara tidak langsung mampu menyediakan tenaga kerja daripada golongan penari pada masa depan," ujarnya serius.
Untuk itu, PNP telah melantik Datin Sharifah Mahani Syed Kassim, 56, sebagai pengetua Swatari dengan dibantu enam guru penari.
Bagi memperluaskan lagi kepercayaan masyarakat kepada PNP, pihak lain harus memberi kerjasama kepada mereka.
Contohnya dengan mengadakan kerjasama dengan institusi-institusi pengajian tinggi awam seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM), Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Universiti Malaya dan Universiti Sains Malaysia yang menawarkan bidang seni ini.
Secara tidak langsung program di Swatari boleh diperpanjangkan lagi bukan setakat peringkat sijil tetapi juga diploma, ijazah dan sarjana menerusi pengajian di institusi-institusi pengajian tinggi awam sama seperti bidang-bidang seni lain.