Asmirandah Saya masih beragama Islam



"SAYA masih beragama Islam."

Demikian tegas pelakon popular Asmirandah berhubung penyebaran gambarnya sedang berdoa bersama seorang lelaki yang mirip bekas suaminya, Jonas Rivanno di sebuah gereja baru-baru ini.

Malah Asmirandah menafikan pernah menjejakkan kaki ke mana-mana gereja bersama Jonas biarpun lelaki itu pernah menjadi sebahagian daripada hidupnya sebelum ini.



Mengakui masih menganut agama Islam bintang filem Ketika Cinta Bertasbih itu menegaskan tidak mahu isu akidah tersebut diperbesar-besarkan.

"Isu ini terlalu sukar untuk diterangkan kepada orang ramai. Lebih baik saya berdiam diri," katanya lagi.

Malah Asmarindah membuat laporan kepada pihak Komisi Penyiaran Indonesia (KPI) berhubung status agamanya kerana terlalu resah dengan pelbagai tohmahan berhubung penyebaran gambar tersebut.




Dalam laporan tersebut, Asmirandah menegaskan dia tidak pernah berpindah agama.

Sebelum ini berita mengenai perkahwinan Asmirandah dan Jonas Rivanno terpaksa dibatalkan kerana perbezaan agama telah mengejutkan semua pihak.

Sementelah mereka digesa untuk berpisah tidak sampai sebulan dari tarikh pernikahan yang berlangsung secara rahsia pada 17 Oktober lalu.

Semuanya gara-gara Jonas dikatakan sudah kembali ke agama asalnya, Kristian biarpun sudah rasmi bergelar seorang Islam pada 21 Ogos lalu.

Biarpun Asmirandah sudah menyatakan pendirian terhadap agama anutannya tetapi masih banyak pihak yang meragui sehinggakan ada pihak yang bertindak menyebarkan surat berantai mengatakan Asmirandah kini sudah bersiap sedia untuk upacara pembaptisan.

Bagaimanapun Asmirandah enggan melayan cerita remeh-temeh yang dilemparkan kepadanya itu.
Previous Post Next Post