Ainan Tasneem jaga akhlak



JAGA adab! Itu janji yang dibuat oleh penyanyi Ainan Tasneem kepada ibu bapanya, Fuziah Bujang dan Ridzuan Sagir yang masing-masing berusia 48 tahun apabila mahu bergelar penyanyi.

Sebagai artis yang menjadi perhatian orang ramai tentu sahaja penuntut jurusan Sarjana Kejuruteraan Bioproses, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) ini perlu pandai membawa dan mengawal diri bagi memastikan dirinya tidak dipandang serong oleh khalayak ramai.

"Awal-awal dahulu memang orang tua saya susah nak bagi kebenaran untuk menjadi penyanyi. Mungkin sebab mereka risau saya tak boleh kawal diri.

"Jadi saya tak mahu memungkiri janji. Saya mahu jadi anak yang membanggakan mereka dan berjaya dalam pelajaran dan nyanyian," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Baginya perkara membabitkan akhlak menjadi keutamaan bukan sahaja untuk menjaga maruah diri dan keluarga lebih penting, menjadi panduan untuknya bergerak terutama selepas terpalit dua kejadian yang mencalarkan namanya tahun lalu.

Ainan sebelum ini pernah didakwa sengaja menciplak lagu berjudul 150 juta yang pernah dipopularkan oleh penulis lirik dan penyanyi lagu asal, Fynn Jamal.



Ramai yang beranggapan Ainan sengaja menyanyikan lagu tersebut tanpa kebenaran Fynn walhal lagu tersebut dibeli oleh syarikat rakaman Ainan iaitu MVM Production Sdn. Bhd.

Selain itu nama Ainan turut terkait dengan cerita kurang enak apabila dikatakan sengaja membatalkan undangan untuk membuat persembahan di sebuah negeri di Pantai Timur tanpa alasan yang jelas sedangkan pada masa yang sama menerima undangan untuk menjayakan persembahan di Johor.

"Dua kejadian itu benar-benar memberi impak kepada saya namun saya yakin kalau artis yang menjaga adab dan akhlak bukan sahaja akan dapat mengawal diri tetapi mampu menghindari gosip seperti itu," ujarnya.




Malah setelah dua tahun membabitkan diri di dalam bidang penuh pancaroba, penyanyi yang popular dengan lagu Hanya PadaMu ini mengakui semakin memahami selok belok perjalanan seorang penghibur.

Mengharapkan perjalanan kariernya lancar kata Ainan, selepas kejadian itu dia lebih berwaspada dengan pelbagai kemungkinan malah menggunakan pengalaman itu sebagai panduan untuk berdepan cabaran mendatang.

"Ya. Saya mesti mengambil langkah berhati-hati selepas ini. Fobia apabila nama digosipkan dengan cerita-cerita yang tak enak," katanya yang sedang bercuti semester pada waktu ini.

Foto NOOR AZLINA JAAFAR

Mekap ZAINATUN ADILAH ZAINAL ABIDIN (017-2911961)

Busana MULIO KAYO ENTERPRISE BY NORA FEEZA (012-9807939)

Semakin matang

SEMAKIN mengerti ‘permainan’ seorang yang bergelar penyanyi, Ainan mengakui dia perlu bersedia dari segi mental dalam menghadapi cabaran pada masa depan.

"Orang kata penyanyi kelahiran YouTube tak banyak cabaran. Mudah saja nak ‘hidup’. Tak payah nak bersusah payah seperti penyanyi arus perdana. Tapi sebenarnya tidak.

"Saya juga berdepan dengan masalah salah faham. Sama ada ditimbulkan daripada pihak lain atau diri saya sendiri," katanya yang mula dikenali menerusi lagu Aku Cinta Dia yang dimuat naik di dalam YouTube.

Mengulas tentang perkembangan kariernya Ainan berkata, dia bakal berduet dengan Rury, vokalis kumpulan Repvblik dari Indonesia yang popular dengan lagu Sandiwara Cinta tidak lama lagi.

Masih merahsiakan judul lagu namun Ainan berharap kerjaya seninya akan lebih kukuh dan mendapat sokongan daripada peminat tempatan dan di negara jiran.
Previous Post Next Post