David Teo dan isterinya, Jane di hari perkahwinan mereka pada 1 Jun 1991.
BERJAYA membina empayar sebagai seorang penerbit drama dan filem di bawah jenama Metrowealth International Group (MIG), nama David Teo tak perlu diperkenalkan lagi.
Mungkin ada yang beranggapan kehidupan, kejayaan dan kekayaan yang dimiliki oleh Ketua Pegawai Eksekutif MIG ini diperolehi dengan mudah.
Namun tahukah anda, di sebalik kejayaan sebagai seorang penerbit, David sebenarnya langsung tiada kepakaran dan latar belakang di dalam selok belok dunia perfileman sewaktu pertama kali membuat keputusan untuk menceburi lapangan ini sekitar tahun 2000.
Cuma seorang lelaki biasa sebagai ejen jualan langsung, David sebelum berada pada kedudukan sekarang langsung tidak pernah terfikir yang dia akan hidup sebagai seorang penerbit filem dan berupaya menghasilkan 100 buah filem akhir tahun lepas.
Apa yang difikirkannya cuma untung. Dorongan itulah yang membawa David pada kedudukannya hari ini meskipun dahulu kehidupannya sekeluarga amat susah.
"Siapa cakap saya datang daripada keluarga senang? Berada di dalam sebuah keluarga besar dengan lapan orang adik-beradik, kehidupan semasa kecil saya penuh kepayahan.
"Ayah cuma seorang tukang rumah. Jadi bayangkan berapa sangatlah upah yang dia dapat untuk menyara kami sekeluarga. Menyedari keadaan keluarga yang susah, saya selalu mengingatkan diri agar tidak menyusahkan ibu dan ayah dalam apa jua perkara.
"Sebab itu sejak sekolah rendah lagi saya sudah pandai kerja dan kumpul duit sendiri," katanya.
Berkongsi pengalaman kata lelaki berusia 50 tahun ini, seperti sudah dilahirkan untuk menjadi seorang usahawan, dunia perniagaan cukup dekat dengan dirinya.
Jika teman-teman sebayanya ketika itu cuma tahu berkelakuan nakal dan bermain seperti kebanyakan kanak-kanak lain, David sudah pandai bekerja sambilan.
Mencari duit upah dengan membantu abangnya membuat longkang, David mengaku seronok bekerja daripada bermain-main seperti kawan-kawannya yang lain.
"Budak kecil kalau dapat upah 10 sen pun sudah gembira. Itulah saya semasa kecil. Selepas pulang dari sekolah, waktu petang memang saya peruntukkan untuk membuat simen longkang demi mencari duit poket.
"Satu petak longkang saya diupah 10 sen. Kalau petaknya besar sikit, saya diupah 50 sen. Ikut saiz. Dengan duit tu saya guna untuk beli kelengkapan sekolah saya seperti buku dan alat tulis. Pada masa yang sama, saya berjimat dan menyimpan. Masa itu saya dah tahu, untuk dapatkan apa yang kita nak, kena kerja sendiri. Tak perlu susahkan ibu bapa," ujarnya.
Menurut David, pekerjaan itu diteruskan selepas dia tamat sekolah menengah. Daripada cuma bekerja secara sambilan, David bekerja sepenuh masa membantu abangnya yang ketika itu sudah membuka kedai simen sendiri di kampungnya di Segamat, Johor.
Selama setahun berkerja, David berjaya mengumpul duit sebanyak RM20,000 untuk menyambung pengajian dalam bidang seni bina dan lukisan pelan di sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur.
Pun begitu kerana sikapnya yang memang tak boleh duduk diam dan suka berniaga, David mencuba-cuba menjadi ejen jualan langsung secara sambilan.