Azlan & The Typewritter Mahu terus bereksperimen



BUKAN mudah menempa nama dalam industri muzik malah tempoh sedekad yang dilalui merupakan antara pengalaman yang paling besar lagi bermakna kepada kehidupan vokalis bernama Azlan ini.

Setelah meraih kejayaan demi kejayaan ternyata Azlan atau nama sebenarnya Norazlan Roslee terus semangat dalam mempertahankan genre muzik rock & roll yang diperjuangkan selama ini.

Masih belum mengalah Azlan yang pernah bersama kumpulan Meet Uncle Hussein (MUH) sebelum menyertai grup Azlan & The Typewriter pada 2009 mengakui ada sesuatu yang menanti para peminat mereka.

Ditemani rakan-rakan yang sudah menjadi teman muziknya termasuk Andy (gitaris), Kee (gitar kedua), Zack (dram) dan Man (bass), penyanyi lagu Tanda Tanya yang tersenarai di dalam kategori lima vokalis lelaki terbaik Anugerah Industri Muzik ke-20 (AIM20) baru-baru ini mahu menghadiah sebuah album khas kepada peminat setia mereka yang dijangka di pasaran pada bulan ini.

"Album terbaharu ini diperkuatkan dengan single pertama berjudul Bukan Ugutan yang sememangnya mempunyai kekuatan," ujar Azlan.

Masih gemar bermain nada dan ritma yang ‘berat’ yang mungkin kurang enak didengar oleh peminat yang baru berjinak dengan muzik, Azlan ada alasannya.

"Muzik di dalam album ini mungkin sukar diterima oleh peminat baharu tetapi saya yakin peminat yang mengikuti perkembangan saya sebelum ini, mereka akan suka.

"Untuk album bersama The Typewriter, memang konsepnya ‘berat’ seperti itu. Kami belum berhajat mahu bertukar genre lain.

"Walaupun sudah masuk album ketiga, kami masih ada banyak idea. Masih belum puas bereksperimentasi. Bila buat kerja bersama-sama lagi banyak idea boleh dihasilkan. Ini yang saya suka apabila bekerja bersama sebuah kumpulan," kata Azlan.

Masih meneruskan ideologi bahawa muzik yang bijak harus diterima penggemar, Azlan berkongsi maksud tersurat dan tersirat di sebalik kesungguhannya menghasilkan sesebuah album.

Pengalaman katanya, merupakan guru yang banyak mendidiknya untuk sedar bahawa jika ingin berjaya, pemuzik tidak boleh bergantung kepada penjualan album semata-mata.

"Saya dan The Typewriter memang buat album studio untuk peminat tegar kami sahaja. Kami buat, rakam, terbitkan dan edarkan sendiri.

"Ringkasnya, album bagi seseorang penyanyi atau grup muzik sekarang tidak ubah seperti kad nama. Kalau seseorang individu mahu menyatakan bahawa dia wakil dari sesebuah syarikat atau perusahaan yang dilakukannya, orang itu akan bagi kad nama.

"Sama macam kami. Mahu perkenalkan diri bahawa kami penyanyi dan pemuzik yang serius, kami hasilkan dan tunjukkan album. Ini semacam identiti sahaja. Selebihnya, survival kami sebagai pemuzik harus datang daripada pelbagai cabang, perlu ada strategi lain," ujarnya.




Hormati yang lama

Masih lagi bercerita berkenaan pengisian dan falsafah yang terkandung dalam album terbaharunya itu kata Azlan, penghasilan muzik dan lirik kali ini lebih matang dan serius.

"Penghasilan album ini seratus peratus bersama band The Typewriter tanpa menjemput pemuzik lain. Kiranya kami memang rock & roll sangat. Liriknya juga tidak terbatas kepada isu Melayu sahaja tetapi tidak bercakap tentang politik.

"Saya banyak masukkan unsur realiti dalam bait-bait lirik tulisan saya. Misalnya (lirik) ‘sekarang zaman hilang budaya, tersalah kata pistol jawabnya’. Itu antara lirik yang saya suka dan terkandung di dalam lagu Pasar Karat.

"Bagi penulisan lirik yang saya tulis sepenuhnya untuk album ini, saya banyak membaca tulisan arwah Loloq. Bagi saya bait-bait nukilannya untuk album solo Aku Amy oleh Amy Search cukup hebat.

"Malah saya cukup menghormati otai-otai™ rock seperti abang Amy dan Awie kerana walaupun dengan kepelbagaian genre yang diketengahkan ketika ini, mereka berdua tetap memperjuangkan muzik yang dibawa selama ini.

"Dan saya mahu menjadi seperti mereka," tegasnya lagi.
Previous Post Next Post