Hafreez Adam Gembira Dapat Tempat Dalam Anugerah DFKL

\

Pendatang baru Hafreez Adam merupakan seorang pelakon yang bakatnya dicungkil menerusi pencarian ‘Hero Remaja’ yang berlangsung tahun lalu. Walaupun tidak mendapat sebarang tempat dalam pertandingan itu, Hafreez telah memulakan langkah dalam dunia hiburan menerusi drama bersiri yang disiarkan di ntv7, ‘Tanah Merah’. Kini Hafreez semakin optimis dalam merencana perjalanan kariernya.

Mengulas mengenai peluang berlakon yang diterimanya lebih awal berbanding dengan peserta dan pemenang ‘Hero Remaja’ yang lain, Hafreez merasakan perkara tersebut tidak boleh diperbandingkan kerana semuanya terletak kepada ketetapan rezeki.

“Saya rasakan itu merupakan rezeki masing-masing. Saya tiada asas dalam bidang lakonan, tetapi saya belajar dan mengutip pengalaman dari lokasi ke lokasi penggambaran. Setiap kali berlakon, tenaga produksi berlainan, pelakon juga tidak sama. Jadi saya banyak belajar menerusi mereka. Saya rasa tidak boleh buat perbandingan kerana semuanya bergantung kepada rezeki,” ujar Hafreez ketika ditemui di Booth Remaja sempena Karnival Karangkraf 2014 bertempat di Shah Alam pada Ahad.




Hampir setahun melibatkan diri dalam bidang lakonan, jejaka yang pernah menjayakan drama bersiri ‘Kisah Cinta’ ini terkejut apabila mengetahui dirinya turut tercalon dalam Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) anjuran TV3 dan TV9.

“Saya tidak menjangkakan perkara ini dan saya amat terkejut. Saya masih terlalu baru dalam bidang lakonan. Bagaimanapun, saya gembira apabila tercalon menerusi drama ‘Puteri Malam’ yang menyaksikan saya berganding dengan Zara Zya. Bagi saya, tak menang pun tidak mengapa. Sudah tercalon pun sudah membuatkan saya gembira,” ujar Hafreez lagi.

Dalam perkembangan lain, Hafreez baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama khas ‘tribute’ untuk Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang berjudul ‘Seteguh Kasih Ibunda’ arahan Osman Ali. Selain itu, Hafreez juga kini giat menjalani penggambaran bagi drama bersiri ‘Rides’ yang bakal disiarkan di TV9.

“Drama bersiri ‘Rides’ adalah arahan Faisal Ishak. Membariskan Yana Al Yahya, Syafie Baswip, Ayda Jebat dan ramai lagi, drama bersiri ini berkisar mengenai kisah remaja yang terlibat dalam dunia basikal ‘fixi’. Saya memainkan watak sebagai seorang jejaka yang mahir dalam dunia basikal ‘fixi’ dan watak saya juga merupakan seorang yang selamba, tidak kisah mengenai hal sekeliling,” tutur Hafreez mengakhiri perbualan.

VIDEO:

Previous Post Next Post