
Sesi jelajah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) anjuran TV3 dan TV9 serta pratonton tayangan eksklusif drama bersiri 'Ariana Rose' dan '7 Suami' berlangsung dengan meriah pada Selasa, 11 Februari 2014 bertempat di Lower Ground, Oval One Utama Shopping Centre, Petaling Jaya. Dibanjiri lebih kurang 1,500 orang, sesi jelajah dan pratonton tersebut berlangsung dari jam 10.00 pagi hingga 8.00 malam.

Antara aktiviti yang diadakan sepanjang jelajah tersebut ialah sesi ramah mesta bersama speaker DFKL, sesi ramah mesra bersama pelakon '7 Suami' dan 'Ariana Rose', tayangan eksklusif episod lima bagi drama '7 Suami', tayangan eksklusif episod 26 dan 27 'Ariana Rose', sesi simbolik menandatangani perjanjian antara DFKL dan L'Oreal Paris selaku penaja utama, kuiz trivia DFKL dan banyak lagi.
Antara artis yang hadir memeriahkan majlis ialah Nur Fathia, Keith Foo, Hisyam Hamid, Nabila Huda, Arja Lee, Izreen Azminda, Esma Danial, Fazren Rafi, Zara Zya, Hanez Suraya, Norish Karman, Azlee Khairi dan ramai lagi.
Selain itu, pemenang kuiz pratonton 'Ariana Rose' yang dianjurkan oleh TV3 berpeluang untuk makan malam bersama dengan pelakon-pelakon drama bersiri tersebut di Waroeng Iga, One Utama selepas selesainya sesi jelajah dan pratonton tersebut.
.jpg)
Pelbagai aktiviti menarik bakal berlangsung bersempena dengan DFKL pada 20 dan 21 Februari ini di Pusat Konvensyen Berjaya Times Square, Kuala Lumpur. Selain itu, Anugerah DFKL juga bakal berlangsung pada 22 Februari ini di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur. Bakal dihoskan oleh Sherry Alhadad dan Zulin Aziz, anugerah ini bakal mempertandingkan tujuh kategori dan satu anugerah khas. Layari laman web www.dfkl.com.my untuk maklumat lanjut.