Hanez Suraya Nafi Tagih Publisiti Murahan



Jika diteliti, pelakon Hanez Suraya Abdul Aziz seringkali dihimpit dengan kisah-kisah peribadi berbanding kisah perkembangan kariernya. Timbul dakwaan mengatakan Hanez senang dengan situasi yang dihadapinya itu semata-mata mahu memastikan namanya sentiasa menjadi sebutan peminat hiburan tempatan. Malah, ada juga yang berpendapat yang Hanez suka mencari publisiti murahan. GUA mendapatkan komen Hanez berhubung dakwaan ini.

“Bukan saya yang mencipta kontroversi. Kontroversi tersebut datang daripada orang lain yang kurang berpuas hati dengan saya. Lepas satu, satu yang datang. Saya bukan mahu mencari atau pun menumpang populariti sesiapa, tapi ada sahaja pihak yang kurang berpuas hati dengan saya. Saya mahu fokus kepada kerjaya, jadi berita-berita sebegini saya rasa tidak perlu dihebahkan,” tutur pelakon ‘Love You Mr. Arrogant’ ini.




Jelas Hanez lagi, seboleh-bolehnya dia tidak mahu menjaja kisah-kisah peribadi kerana tahu kisah-kisah sebegitu hanya akan memberi impak negatif kepadanya. Bahkan, dia juga tidak mahu dituduh mancari publisiti murahan semata-mata mengejar populariti.

Sementara itu, Hanez juga berkongsi cerita yang dia kini sedang merancang untuk menamatkan zaman bujangnya dengan jejaka berusia 30-an pada tahun ini. Bagaimanapun, dia enggan bercerita tentang tarikh dan lokasi majlis perkahwinannya itu nanti.



“Saya ada perancangan untuk menamatkan zaman bujang saya dengan si dia tahun ini. Tapi untuk bercerita dengan lanjut, belum lagi. Semuanya masih dalam perancangan,” ujar Hanez ringkas.

Dalam perkembangan lain, Hanez kini sedang giat menjalani penggambaran bagi musim terbaru drama bersiri siaran Tonton, ‘Autumn Di Hatiku 2’. Masih memegang watak sebagai seorang gadis yang gilakan muzik dan dunia hiburan K-Pop, Hanez gembira apabila dia dapat kembali menjayakan watak Nina.

“Saya rasa teruja. Walaupun persekitaran baru dan ada juga pelakon baru yang diperkenalkan menerusi musim kedua ini, penggambaran berjalan sangat lancar dan saya gembira. Sepanjang penggambaran, saya langsung tidak tertekan kerana semuanya berjalan dengan baik sekali,” ulas Hanez.

“Kali ini, Nina banyak membuli orang. Nina dan Jaja, lakonan Ezzaty Abdullah berpakat untuk mengenakan orang. Karakter saya lebih nakal untuk siri yang kedua ini,” ujar Hanez mengakhiri perbualan.

Bagi peminat siri ini, musim terbaru ‘Autumn DI Hatiku’ bakal bersiaran di Tonton tidak lama lagi! Jangan ketinggalan untuk menyaksikan gandingan Kim Jin Sung, Hanez Suraya, Ezzaty Abdullah, Youmie Robert, Amran Ismail dan Iedil Putra di www.tonton.com.my!
Previous Post Next Post