Hisyam Hamid
PETALING JAYA: Pelakon yang berasal dari Singapura, Hisyam Hamid tidak akan membawa isteri dan dua anaknya berpindah ke Kuala Lumpur buat masa ini.
Hisyam, 29, berkata, dia lebih selesa berulang-alik dari Singapura ke Kuala Lumpur disebabkan anak-anaknya bersekolah di negara itu.
"Salah satu sebab saya tidak mahu berpindah ke Kuala Lumpur kerana anak-anak saya bersekolah dan masih kecil.
"Buat masa ini saya lebih selesa berulang-alik dari Singapura kerana itu pilihan terbaik buat masa ini," katanya kepada mStar Online.
Hisyam ditemui pada sesi jelajah Drama Festival KL serta Pra-tonton drama Ariana Rose dan 7 Suami di One Utama di sini, Selasa.
Selain Hisyam turut hadir ke majlis tersebut adalah Keith Foo, Nabila Huda, Hanes Suraya dan Arja Lee.
Bagaimanapun kata Hisyam, jika kariernya di Malaysia semakin stabil pada masa hadapan berkemungkinan dia akan membawa keluarganya berpindah ke negara ini.
Dalam perkembangan sama, Hisyam berkata, dia tidak bimbang kehadirannya memeriahkan industri di negara ini akan dipertikaikan oleh pihak tertentu.
Ini kerana dia mengikut semua peraturan yang ditetapkan oleh undang-undang di negara ini.
"Saya pernah mengikuti kekecohan yang berlaku melibatkan Aaron Aziz dan Adi Putra dan sebagai pendatang baharu saya tidak mahu melanggar apa-apa peraturan ditetapkan di negara ini.
"Sebagai orang luar kita perlu menghormati undang-undang dan mematuhi semua peraturan dan ia sebenarnya memudahkan urusan," ujarnya.
Dalam pada itu, Hisyam berkata, dia turut melantik isterinya iaitu Rosmawati Hanafi, 33, sebagai pengurus agar dapat meluangkan lebih masa dengan isterinya.
"Kami sering berjauhan dan ada kalanya tidak berjumpa selama beberapa minggu jadi dengan melantik dia sebagai pengurus kami boleh meluangkan masa bersama," katanya.
Tambah Hisyam, tidak timbul soal isterinya cemburu kerana sudah terbiasa dengan kerjayanya itu sejak di Singapura lagi.
"Saya mula berlakon sejak berusia 13 tahun dan kami berkahwin pada usia saya 21 tahun dan dia sentiasa bersama saya dan melihat perkembangan kerjaya dari awal dan dia sangat memahami," ujarnya.
Hisyam dan Rosmawati dikurniakan dua cahaya mata iaitu Nurish Syameliah, 7, dan Hayden berusia lima tahun.
Sementara itu, Hisyam berkata, dia tidak menyangka bakat lakonannya mendapat sambutan luar biasa daripada peminat di negara ini.
Jelas Hisyam, sejak muncul dalam drama bersiri itu, dia semakin mendapat perhatian pengarah lain yang ingin mengambilnya berlakon.
"Setakat ini saya sudah menyiapkan beberapa buah drama dan akan memasuki set penggambaran projek terbaharu tidak lama lagi," katanya.