Zizan Razak Mohon Maaf Jika Imej Hina Pasukan Keselamatan


Zizan Razak.

PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak Zizan Razak memohon maaf sekiranya pakaian dipakainya semasa Anugerah Meletop Era 2013 pada Sabtu lalu menghina mana-mana pasukan keselamatan di negara ini.

Zizan atau nama sebenarnya Razizan Abdul Razak, 30, berkata, dia sebelum ini bimbang pakaian yang mempunyai dua lencana yang didakwa menyerupai milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu akan mencetuskan kontroversi seperti mana berlaku kepada aktor Farid Kamil sebelum ini.

Bagaimanapun kata Zizan, penaja pakaian itu menjelaskan penampilannya itu tidak akan mendatangkan masalah sehinggalah dia bersetuju untuk mengayakannya pada acara itu.

"Sebelum setuju memakai pakaian berkenaan saya sendiri bertanya dengan pereka fesyennya adakah tidak menjadi kesalahan sekiranya memakai pakaian menyerupai anggota keselamatan negara.

"Namun pihak mereka meyakinkan saya bahawa ia tidak akan menjadi isu kerana sekiranya lencana tersebut dipakai dengan kedudukan yang betul ia tidak menjadi sebarang kesalahan.

"Bagaimanapun perkara sudah terjadi dan saya mohon maaf terhadap kejadian itu," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Selasa.




Zizan mengulas dakwaan apabila dikatakan menghina pasukan keselamatan negara ketika muncul dalam Anugerah Meletop Era 2013 di Stadium Putra Bukit Jalil, dekat sini Sabtu lalu dengan memakai pakaian yang mempunyai lencana pasukan keselamatan.

Sebelum ini, Farid Kamil pernah dilanda kontroversi sama apabila pakaian di majlis persandingan dikatakan menyerupai satu lagi badan keselamatan negara.

Sementara itu, jurucakap butik Bianco Mimosa berkata, pihaknya tidak berniat untuk menimbulkan sebarang kontroversi berhubung pakaian yang direka untuk Zizan pada malam itu.

Pengurusan butik berkenaan turut memohon maaf kepada pihak terlibat dan kesal atas kejadian tersebut.

"Baik pihak Zizan atau pun Bianco Mimosa kami tidak ada apa-apa niat untuk menghina atau tidak menghormati mana-mana pasukan keselamatan di negara ini dengan sengaja menggunakan lencana berkenaan.

"Kami kesal dengan kejadian itu dan memohon maaf kepada semua pihak yang terlibat," katanya.
Previous Post Next Post