Johan Raja Lawak Skool of Lawak: Martabat Pelawak Kini Diangkat Tinggi



Sedia maklum malam ini, program realiti komedi iaitu Skool of Lawak buat pertama kalinya akan menemui para peminat program lawak menerusi saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Dengan slogan ‘Komedi Ada Kelas’ program terbaru terbitan Astro Warna (132) ini bakal melahirkan pelapis pelawak yang mempunyai kelas dan “standard” yang tinggi.

Jika sebelum ini program lawak seperti Raja Lawak dikendalikan oleh pasangan kumpulan lawak Jozan iaitu Johan dan Zizan, kali ini program Skool of Lawak bakal menyaksikan gandingan hebat dari Johan dan Jep dari kumpulan Sepahtu.

Menurut Johan, gandingan antara dia dan Jep Sepahtu serba sedikit memberi peluang untuk berkongsi ilmu tentang dunia lawak selain memberi tunjuk ajar berguna kepada 33 peserta yang bertanding.

“Gandingan saya dan Jep seharusnya satu kombinasi yang baik kerana kami secara tidak langsung dapat berkongsi ilmu atau idea tentang lawak kepada para peserta. Kami boleh beri tunjuk ajar yang berguna kepada 33 peserta di Skool of Lawak ini.

“Barisan tenaga pengajar juga merupakan mereka-mereka yang mempunyai pengalaman yang luas dalam dunia seni tanah air terutamanya menerusi bidang lawak. Jadi para pelajar seharusnya ambil serius dan ambil peluang belajar sebanyak yang mungkin jika untuk berjaya kelak.




“Saya juga bermula dari bawah menerusi program Raja Lawak. Saya bukan dilahirkan terus untuk mengecapi kejayaan begitu sahaja. Apa yang penting para pelajar perlu fokus dan serius di dalam kelas. Maksud serius adalah serius untuk menimba ilmu dan dapatkan info-info berguna daripada tenaga pengajar. Dari situ idea-idea boleh berkembang untuk kita persembahan kepada para penonton nanti,” jelas Johan kepada Astro Gempak.

Dalam pada itu, Johan sangat teruja untuk bekerjasama dengan Jep memandangkan ini adalah kali pertama mereka berdua diberi kepercayaan untuk mengendalikan program baru seperti Skool of Lawak.

“Saya teruja untuk bekerjasama dengan Jep kerana ini adalah pertama kali kami digandingkan. Saya juga rasakan dengan gandingan kami ini, ianya secara tidak langsung akan jadi ‘role model’ buat para peserta.

“Harapan supaya mereka diluar sana turut sama sokong program baru seperti ini kerana sekarang ini dunia lawak mahupun pelawak telah dipandang tinggi oleh masyarakat. Terima kasih kepada pihak Astro yang mengambil pelbagai inisiatif untuk mengangkat martabat pelawak tanah air.

“Satu usaha murni daripada pihak pihak Astro yang menghargai para pelawak yang semakin mendapat tempat di hati peminat-peminat program lawak terutamanya,” tambah Johan mengakhiri perbualan.

Pastikan anda terus menyokong dan menonton program realiti komedi Skool of Lawak yang dihoskan oleh dua pelawak terkenal iaitu Johan dan Jep Sepahtu setiap hari Jumaat di saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Jangan lupa untuk mula mengundi bermula jam 10 malam ini dan layari www.skooloflawak.com.my untuk berita, gambar dan video terkini!
Previous Post Next Post