VANIDAH IMRAN teruja diberi tanggungjawab sebagai ikon di samping Cheryl Samad dan Marion Caunter.
menggantikan slot yang ditinggalkan program realiti Mentor Milenia, program realiti terbaharu terbitan TV3, Clever Girl Malaysia menyaksikan 14 gadis pintar dari setiap negara bertarung demi merebut gelaran Clever Girl Malaysia pertama, sekali gus memenangi hadiah utama bernilai RM100,000.
Berkonsepkan rancangan game show, 14 gadis berkenaan dipilih menerusi dua platform iaitu uji bakat terbuka dan pencalonan di media sosial Instagram. Menariknya, biarpun baru memasuki musim pertama, jumlah penyertaan yang diterima telah melebihi lebih 1,000 orang calon.
Mengakui bukan suatu perkara yang mudah untuk mencari 14 gadis terbaik bagi menerajui program tersebut, Shazreena Kasim selaku penerbit memberitahu, pihaknya menerima banyak penyertaan dan menghadapi saat sukar untuk menyenarai pendek peserta.
“Saya akui, sewaktu sesi uji bakat dijalankan, ramai yang mempunyai potensi besar untuk masuk bertanding tetapi pihak kami mencari gadis yang mempunyai pakej lengkap dan dapat memberi komitmen sepanjang 10 minggu program berlangsung.
“Selain berketrampilan menarik, pemilihan peserta dibuat berdasarkan kebijaksanaan dan pengetahuan am. Selepas melalui sesi uji bakat dan melepasi ujian intelektual, akhirnya seramai 14 orang gadis mewakili setiap negeri terpilih sebagai peserta musim pertama,” katanya pada sidang akhbar Clever Girl Malaysia di Hotel Royale Chulan, Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai kelangsungan program, Shazreena berkata, konsepnya berbeza daripada program realiti yang pernah menemui penonton sebelum ini.
“Sepanjang siaran langsung program ini, kesemua peserta akan diuji berdasarkan soalan kuiz merangkumi sains, matematik, sejarah, geografi termasuk politik dan isu semasa.
SERAMAI 14 peserta mewakili 14 negeri di Malaysia mula bertanding dalam program terbaharu, Clever Girl Malaysia sejak 13 Mac lalu.
“Soalan tersebut disediakan oleh Institut Mensa Malaysia dan peserta yang mendapat markah terendah akan disingkirkan. Selain soalan kuiz, peserta juga akan melalui beberapa cabaran berbentuk fizikal termasuk terlibat dalam aktiviti khidmat masyarakat,” katanya lagi.
Ikon
Menariknya, program tersebut turut memperkenalkan tiga selebriti wanita popular iaitu Vanidah Imran, Cheryl Samad dan Marion Caunter sebagai ikon untuk membimbing 14 peserta yang bertanding.
Menurut Vanidah Imran, 42, dia terkejut dengan tahap pemikiran dan kualiti yang ditunjukkan oleh 14 peserta terpilih.
“Mereka sangat istimewa. Bukan sahaja berwajah jelita, tetapi bijak. Namun itu masih tidak mencukupi untuk bergelar Clever Girl Malaysia yang pertama.
“Banyak lagi ruang yang perlu diperbaiki untuk menjadi contoh dan inspirasi kepada wanita di luar sana. Saya dan dua rakan lain (Cheryl dan Marion) yang dipertanggungjawabkan untuk membimbing dan mengasah kebolehan mereka dalam bidang masing-masing,” katanya.
Seramai 14 gadis pintar yang terpilih ialah Sarah Adiba Mohammad Yussof, 26, (Sabah), Sarah Muhammad Afandi, 28, (Terengganu), Lam Wai Chuin, 24, (Perak), An Nuur Nadhirah Abdul Halim, 26, (Negeri Sembilan), Ethel Lampai Anak Ringgit, 29, (Sarawak) dan Wan Zarith Sofia Wan Abd. Aziz, 28, (Johor).
Tidak ketinggalan Nur Adilah Azhari, 29, (Wilayah Pesekutuan), Arina Mohd. Fairin Lum, 26, (Selangor), Nurul Aqeelah Azman, 26, (Perlis), Tunku Intan Mahiya T. Mhamad, 29, (Kedah), Nur ‘Aianaa Zulkiflie, 30, (Pulau Pinang), Nur Aliaana Ahamad Rozaino, 25, (Melaka), Fatin Nuraisya Mohd. Hanipha, 28, (Kelantan) dan Mary Josephine Muhammad Houston, 25, (Pahang).