Setiap pelakon berhak memilih naskhah yang ditawarkan kepada mereka berdasarkan plot, skrip atau pengarah untuk sesebuah filem itu. Begitulah yang dilakukan oleh pelakon berdarah kacukan, Julia Ziegler yang tertarik untuk memegang teraju utama filem 'Aku Akan Muncul' arahan pengarah baru, Krishnan Roy.
Bagaimanapun, pelakon ini berasa kecewa dengan hasil filem ini kerana tidak menepati skrip asal yang diberikan kepadanya. Lebih teruk lagi, Julia Ziegler berpendapat, 'Aku Akan Muncul' mencalarkan porfolio lakonannya.
“Sebagai pelakon saya kurang berpuas hati dengan hasilnya kerana skrip asal berbeza dengan filem yang dihasilkan. Saya menerima tawaran ini pada awalnya kerana begitu tertarik dengan skrip asal yang begitu bagus. Namun, lain pula jadinya.
Tidak dinafikan perkara ini mencalarkan portfolio saya sehingga boleh dicampak ke laut. Saya sangat kesal dengan hasil begini, namun saya tidak akan berputus asa. Sebagai seorang pelakon, saya sudah cuba melakukan yang terbaik,” ujar Julia ketika ditemui usai prebiu filem tersebut di The Curve, pada Rabu.
Julia memegang watak Kesuma, yang merupakan seorang gadis yang mahu menjadi orang yang paling cantik di dalam kampungnya dan sanggup melakukan apa sahaja demi mendapat gelaran tersebut. Dia akhirnya disumpah kerana mengamalkan ilmu hitam bagi merealisasikan impiannya itu.
Selain itu, Julia turut berkongsi yang dia bakal ke Sabah pada 21 Februari ini untuk memperagakan koleksi kasut Mo Couture. Antara nama lain yang turut terlibat adalah Shasha Elite yang bakal menjadi salah seorang model di pentas peragaan tersebut.
Julia yang telah setahun menyulam cinta bersama salah seorang teman rapatnya mengakui masih menjalinkan hubungan bersama jejaka yang sama. Namun menurut Julia, dia belum mempunyai sebarang perancangan untuk membawa hubungan tersebut ke peringkat seterusnya.