Pelakon kontroversi, Shahrizal Jaszle atau lebih dikenali sebagai Shahz Jaszle memberitahu dia merancang untuk menamatkan zaman bujang dengan tunangannya, Redzwani Puteri pada penghujung tahun ini. Bagaimanapun, masih belum membuat sebarang persiapan.
"Saya jangkakan akan berkahwin dengan tunang pada penghujung tahun ini. Tarikh spesifik belum ada lagi. Namun semuanya masih dalam perancangan. Kami hanya merancang, Allah yang menentukan," ujar pelakon drama 'Madu' ini.
Malah, pelakon ini juga mengakui baik dia mahupun Redzwani masih belum lagi melakukan sebarang persiapan kahwin dengan serius. Ini kerana mereka merancang untuk melangsungkan majlis perkahwinan secara sederhana sahaja. Jelas Shahz, apa yang penting baginya ialah tunangnya menghabiskan pengajian terlebih dahulu.
Bercakap mengenai perkembangan kes khalwat Shahz, dia menjelaskan yang sebutan semula kes tersebut bakal berlangsung pada April ini.
"Sebutan kes pada bulan April. Jadi perkara ini masih panjang lagi. Prosesnya masih banyak. Ada yang bertanya kenapa saya mahu memanjangkan lagi kes ini kerana prosesnya bakal berlarutan. Jawapan saya adalah kerana saya mahu lawan perkara ini," tutur Shahz lagi.
Saat ditanya keadaan dirinya kini yang semakin sunyi dari kontroversi berbanding dahulu, Shahz menjelaskan kes tersebut membuatkan dirinya lebih berhati-hati dalam memilih kawan.
"Lepas kes tersebut terjadi, saya lebih berhati-hati. Saya fokuskan kepada kerjaya. Kurangkan aktiviti sosial. Lagipun ayah saya kurang sihat sekarang. Adik saya kini menjadi pengurus saya. Dia baru tamat pengajian Ijazah Sarjana Muda pada tahun lalu dan bermula awal tahun ini, dia sudah menguruskan kerjaya saya. Pengurusan karier saya juga lebih senang sekarang," ujar Shahz ketika ditemui di Prebiu 'Dendam 5 Beradik' di TGV One Utama, Damansara pada Khamis.
Dalam drama bersiri 'Dendam 5 Beradik' yang diarahkan oleh Along Kamaludin itu, Shahz memegang watak sebagai seorang peguam bernama Haniff. Drama bersiri enam episod tersebut turut membariskan Datuk Eizlan Yusof, Nasir Bilal Khan, Shukri Yahaya, Ana Dahlia dan ramai lagi. Drama berdurasi 110 minit bagi setiap episod itu akan bersiaran mulai 1 Mac 2014 menerusi Astro Box Office Movies Tayangan Hebat, saluran 953.