
LOS ANGELES 15 Feb. - Penyanyi, Justin Bieber dilaporkan sedang mencari rumah untuk berpindah semula ke Atlanta, Georgia kerana meminati persekitaran hip-hop di bandar tersebut.
Bieber yang berasal dari Kanada sebelum ini pernah tinggal di bandar itu selepas berpindah ke Amerika Syarikat (AS) dan kini berhasrat untuk kembali menetap di situ.
Kira-kira dua minggu lalu, penyanyi berusia 19 tahun itu meneliti beberapa kediaman di kawasan Hidden Valley di California sebelum didakwa membaling telur ke arah kediaman jirannya yang menyebabkan Jabatan Syerif Daerah Los Angeles mencadangkan pertuduhan feloni ke atasnya.
Dalam pada itu, Bieber dijadual akan menghadiri satu perbicaraan mahkamah pada bulan hadapan di Miami atas dakwaan kesalahan trafik dan memandu dalam keadaan mabuk.
Kemudian, dia akan ke mahkamah di Toronto, Kanada untuk perbicaraan atas dakwaan memukul seorang pemandu pada Disember lalu. - DPA