BANYAK yang berlaku kepada Kristen Stewart sepanjang dua tahun kebelakangan ini. Mula mencipta nama menerusi filem francais popular, Twillight selain berlakon, Kristen juga dikenali sebagai kekasih kepada Robert Pattinson yang menjadi pasangannya di dalam filem tersebut.
Sering berhadapan dengan masalah cinta yang sama - putus dan sambung semula - Kristen seringkali dianggap mencipta populariti dengan cerita cinta sahaja. Malah topik itu menjadi perhatian ramai berbanding lakonannya.
Namun dari satu sudut Kristen bertuah kerana orang tidak pernah bosan untuk mengetahui perkembangan hubungannya dengan Robert sehinggalah dia berpisah dengan bekas teman lelakinya itu selepas terbabit skandal dengan pengarah filem Snow White and the Huntsman, Rupert Sanders.
Kritikan? Umpama sudah sebati dengan dirinya, Kristen dihentam teruk oleh segelintir pembenci yang sudah lama menunggu zaman `kejatuhannya apalagi ramai yang menyifatkan gadis ini bersifat dingin.
Dia bagaimanapun kini menyedari kelemahan dirinya itu dan mengaku bahawa pengalaman lepas banyak memberi pengajaran buat dirinya.
"Banyak momen buruk dan memalukan yang saya lalui sepanjang tahun lalu. Saya hidup seperti berpura-pura.
"Saya dikatakan bukan sahaja tidak bagus di kaca televisyen malah saya tak pernah teringin untuk meletakkan sasaran di dalam hidup untuk lebih berjaya.
"Ramai yang mencemuh dan mengatakan yang saya tak boleh berdepan dengan semua masalah itu atau lebih tepat kontroversi lalu.
"Benar. Saya tak mampu. Saya memang begini. Saya ialah saya yang bersifat dingin. Benar saya seorang aktres. Tetapi saya tak dapat menjadi hipokrit di dunia realiti semata-mata untuk menukar personaliti yang bukan diri saya untuk memuaskan hati semua orang.
"Ya, saya setuju dengan pendapat semua jika mereka mengatakan yang saya ini wanita pelik dan kekok," katanya.
Mengaku tidak menyesali dengan apa yang berlaku kata Kristen, dia tidak mahu mengambil pusing cakap-cakap orang kerana akhirnya dia yang perlu bertanggungjawab terhadap masalah dirinya sendiri.
"Kamu tidak tahu dan tidak minta dengan siapa kamu jatuh cinta. Tiada siapa yang akan tahu kerana itu adalah sesuatu yang anda tidak boleh kawal.
"Ada sesetengah orang yang boleh tahu apa keinginannya namun saya sangat subjektif. Saya tak mahu memberikan tekanan untuk diri sendiri.
"Jika anda jatuh cinta dengan seseorang, anda cenderung untuk ingin memilikinya. Tapi kenapa perlu anda buat begitu? Yang kita perlukan adalah agar dia menjadi apa yang kamu cintai," katanya.
Bagaimanapun kata Kristen, di dalam hidupnya cuma ada satu perkara yang disesali iaitu tidak menyambung pengajiannya di kolej.
"Saya fikir saya adalah seorang yang bijak. Nampaknya saya bukan seorang yang suka membaca buku dan akhirnya saya terjebak dengan dunia lakonan yang saya sendiri pun tak tahu bagaimana semua ini boleh terjadi namun saya sukakanya," katanya.