Silat dalam filem Ku Ahmad kecewa



"SAYA ingin hasilkan sebuah filem silat. Itu impian saya selama ini." Demikian ungkapan yang dilontarkan oleh seorang guru silat terkenal yang kerap menjadi koreografer pertarungan di dalam filem, Ku Ahmad Ku Mustafa.

Lelaki yang berusia 77 tahun ini nyata cukup bersemangat apabila bercerita mengenai impiannya itu yang diharapkan bukan sahaja mampu menggegarkan industri perfileman tempatan tetapi juga di peringkat antarabangsa.

"Saya ingin memaparkan seni dan falsafah yang terkandung di dalam ilmu persilatan. Banyak filem yang saya tonton sekarang tidak ada seni silat," tegas Ku Ahmad menjadi koreografer pertarungan di antara Eman Manan dan Zulkifli Zain untuk filem Matinya Seorang Patriot arahan Rahim Razali (1984).

Pada babak akhir filem itu menunjukkan Eman dan Zulkilfi sebagai adik beradik membuat perhitungan kalah mati apabila bertarung menggunakan pedang di dalam sebuah bilik.

Adegan yang berisiko tinggi itu mencabar Ku Ahmad tetapi dia yakin kerana kedua-dua pelakon itu diberi asuhan yang secukupnya sebelum bertarung.




"Kalau silap langkah, mungkin nahas," kata Ku Ahmad yang mengambil pendekatan tidak mahu menonjolkan diri di media seperti sesetengah guru silat yang lain.

Ku Ahmad yang mempelajari ilmu persilatan dengan berbelas orang guru silat di seluruh negara sejak berusia belasan tahun kini mengasaskan seni bela diri sendiri iaitu silatom, singkatan kepada silat dan tomoi.

Dia bukan sahaja digeruni di dalam gelanggang silat malah gelanggang tomoi (muay Thai) kerana anak muridnya kerap menjadi juara.

Menurutnya, sesetengah pengarah filem Melayu tidak menggunakan teknik silat sebenar dan lebih senang ‘tangkap muat’ sahaja apabila membuat adegan pertarungan.

"Saya hiba mengenangkan hala tuju seni silat di dalam filem kita. Drama-drama purba dahulu juga tidak nampak sengat seni silatnya. Hanya pakaian sahaja pakaian silat dan itu tidak cukup," jelasnya kecewa.

Kini Ku Ahmad sudah menyiapkan skrip filem berjudul Gelombang yang setanding filem Ong Bak dari Thailand dari segi pertarungan.

"Skrip ini sudah siap cuma saya tidak tahu kepada siapa sepatutnya saya serahkan. Sebelum ini saya pernah berjumpa Bade Azmi dan berbincang mengenai skrip ini tetapi dia belum memberi kata putus," ujar Ku Ahmad.

Tambahnya: "Saya tidak boleh mengarahkan sendiri skrip itu sebab saya bukan pengarah dan kudrat tidak mengizinkan," katanya yang pernah menjadi pemain muzik tradisional di Komplek Budaya Negara (KBN) dan Istana Budaya.

Selain Matinya Seorang Patriot, Ku Ahmad juga pernah memikul tanggungjawab sebagai koreografer pertarungan drama antaranya Luk Tujuh, Pendekar Kundur, Kelisa dan Tuah.

Telah bergelar guru silat pada 1956 sewaktu usianya 18 tahun dengan gelanggang silat pertama di Pekan Tanah Merah, Jitra Kedah.

"Selepas itu lebih 20 gelanggang dibuka di seluruh Kedah termasuk Pulau Langkawi. Selain mengajar saya juga turut belajar ilmu persilatan bagi menambah pengetahuan saya di dalam bidang silat malah saya pernah merantau sehingga ke Indonesia," jelasnya.

Ku Ahmad pernah menghasilkan buku persilatan, Attack and Defence terbitan Oxford University Press. Terkini Ku Ahmad turut mengajar ilmu persilatan kepada anggota polis di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.
Previous Post Next Post