Amira AF: Ini berat buat saya



SEJAK menyertai Akademi Fantasia musim ke-10 (AF10) tempoh hari lagi, pemenang tempat ketiga program Astro ini sering dikaitkan dengan imej ala ustazah.

Bukan satu omongan kosong kerana itulah senario yang berlaku sehingga Nadia Amira Othman, 21, tidak mampu untuk menepis pandangan orang yang menganggap dia gagal dalam bab berpenamnpilan.

Ini kerana fesyen wanita berhijab dewasa ini semakin bergaya sementelah sebagai seorang artis, dia perlu sedar bahawa dunia muzik dan fesyen bergerak seiring.

Ramai yang berpendapat Amira perlu memperbaiki imej diri agar dia lebih mudah meloloskan diri dan dikenali dalam ruang lingkup hiburan tempatan.






Pun begitu apabila diajukan hal demikian, anak kelahiran Johor Bharu, Johor ini tenang memberitahu bahawa yang dipakai adalah pilihan dirinya sendiri tanpa paksaan sesiapa.

Sedar bahawa ramai yang menggelar dan 'mengejek' imejnya yang dikatakan seperti ustazah, Amira mengaku tidak terasa hati dengan hal tersebut. Cuma katanya, bukanlah imej ustazah tetapi bertudung itu tuntutan agama.

Sebaliknya dia lebih senang jika orang melihat penampilannya itu sebagai sesuatu yang sopan.

"Saya tahu sebagai artis imej perlu dijaga. Bahkan saya akui pernah dengar orang kata kalau tak pandai bergaya buat apa jadi artis. Kalau pakai baju sopan ala-ala ustazah ini menyanyi lagu nasyid sajalah.

"Benda ini berbalik kepada mentaliti. Orang selalu cakap oh kalau pakai sopan muzik yang sesuai menyanyi nasyid sahaja. Lagu lain tak boleh.

"Sebenarnya persepsi macam ini harus ditukar. Saya tahu, imej begini berat untuk saya bawa. Tetapi ini pilihan saya.

"Pada masa yang sama saya sebenarnya bertanggungjawab membuktikan yang berimej sopan juga boleh bawa genre muzik moden, tidak hanya corak ketuhanan sahaja. Imej sopan ini tidak mengganggu pun kreativiti dan perjalanan seni saya," kata Amira yang turut berterima kasih kerana orang tuanya sentiasa memantau cara pemakaiannya.

Menurutnya, mungkin ada segelintir artis bertudung yang tidak kisah berpakaian mengikut bentuk badan tetapi bukan dirinya.

"Kalau boleh saya mahu jaga bab ini. Bukanlah nak cakap saya bagus. Tapi ini pilihan saya. Malah semasa menyertai AF lagi saya sudah maklumkan mengenai hal ini," katanya lagi.

Terlambat

Berbanding rakan-rakan AF10 yang lain contohnya Indah dan Faizul, boleh dikatakan perjalanan seni Amira agak lambat dan tertinggal di belakang.

Pernah dianggap tidak berminat untuk meneruskan dunia hiburan lantaran cuma berjaya meraih tempat ketiga dalam pertandingan realiti tersebut namun dia menyangkal dakwaan itu.

Kata Amira, dia 'terpaksa' melupakan sebenar dunia huburan selepas tamatnya program AF lantaran mahu memberi tumpuan penuh pada pengajiannya di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

"Saya tak suka buat banyak perkara dalam satu masa. Sebab itu saya tumpu pada pengajian dulu sebab semasa saya masuk AF dulu saya masih dalam pengajian. Kemudian terpaksa 'berehat' daripada belajar sebab nak tumpu pada AF.

"Jadi apabila AF dah tamat, saya kembali menggalas tanggungjawab untuk menghabiskan pengajian yang cuma tinggal satu semester sahaja tempoh hari.

"Alhamdulillah sekarang sudah habis dan tunggu majlis konvokesyen sahaja pada November ini," katanya yang mendalami jurusan muzik.

Bagaimanapun kongsi Amira, dia tidak fikir kelewatannya itu sebagai satu kerugian memandangkan selama dia mendiamkan diri dalam dunia hiburan, dia tidak duduk kosong.

"Saya belajar mengenai muzik. Sekurang-kurangnya apabila saya fokus betul-betul kepada kerjaya selepas ini tak adalah susah sangat.

"Tetapi saya faham dunia muzik itu tak cuma terhad pada itu sahaja. Banyak perkara yang perlu saya belajar dan proses pembelajaran itu tidak akan pernah berhenti," katanya.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Sesaat Untukku ini berasa bertuah kerana masih ada yang bertanya mengenai perkembangannya semasa dia tidak aktif dalam dunia hiburan tempoh hari.

Kata Amira, dia gembira kerana masih ada yang ingin tahu mengenai dirinya dan itu membuktikan bahawa ada peminat yang mahu dia terus hadir dengan material baru selepas AF.
Previous Post Next Post