Nasir Bilal Khan Selektif Soal Karya



MENEKANKAN aspek penerapan agama dalam sesebuah skrip, itu syarat utama yang digariskan pelakon Nasir Bilal Khan sebelum menerima sebarang tawaran berlakon.

Malah lelaki berusia 54 tahun ini juga tidak berkompromi dengan sebarang naskhah yang disifatkan tidak bermutu apabila terlalu mendedahkan sisi buruk masyarakat Melayu pada hari ini.

Meluahkan rasa kekesalan apabila terlalu banyak paparan negatif di televisyen kata Nasir, perkara itu harus diperjuangkan kerana dikhuatiri mampu meruntuhkan moral masyarakat.

Sementelah masyarakat mudah terpengaruh dengan perlakuan yang dilakonkan kerana mengikut kehendak skrip tegas Nasir, kebiasaan itu cukup merisaukan.

"Sekarang ini orang Melayu kita semakin berani untuk melakukan jenayah tanpa rasa bersalah sebab perbuatan sebegitu menjadi normal apabila ditayangkan di televisyen.

"Tidak dinafikan terlalu banyak pengaruh yang tidak baik di televisyen sudah diserapkan dalam kalangan generasi muda kita sebab terlalu banyak cerita yang kurang baik ditonjolkan.

"Sudahlah jiwa mereka 'kosong', terpengaruh pula dengan anasir tidak baik. Sebab itu saya kasihan melihat orang Melayu kita semakin hilang jati diri," kata Nasir penuh kesal.

Memandang serius perkara membabitkan keruntuhan akhlak dia mengambil inisiatif untuk sama-sama membantu mengisi kekosongan jiwa masyarakat itu.

Lebih-lebih lagi masyarakat hari ini kekurangan model dalam kalangan pelakon yang mampu untuk dijadikan contoh dan tauladan.

Terkenal dengan watak tokoh agama, Tok Adi dalam drama bersiri Tanah Kubur Nasir memberitahu, itu antara perjuangan yang cuba disampaikan.

"Watak Tok Adi dalam Tanah Kubur cukup kuat untuk menginsafkan penonton. Itulah yang menjadi sasaran saya kepada generasi muda sebagai mengisi jiwa mereka.

"Mereka akan insaf apabila mendapat tahu kesan bagi setiap kejahatan yang dilakukan.

"Walaupun mungkin pengajaran itu tidak terus meresap ke jiwa tetapi lambat laun pasti mereka akan dapat merasainya," katanya yang bakal menjalani penggambaran musim ke-13 drama itu sepanjang Ramadan ini.






Sejarah

Selain prihatin dalam soal dakwah menerusi drama yang dilakonkan kata Nasir, dia juga amat menekankan soal sejarah kerana perkara tersebut turut dipinggirkan sejak akhir-akhir ini.

Sedangkan perkara itu merupakan tunjang kepada matlamat hidup setiap individu agar lebih menghargai perjuangan orang lama dalam mempertahankan negara.

"Sewaktu menerima skrip, saya juga menekankan soal sejarah. Perkara ini seolah-olah dipinggirkan dewasa ini kerana ramai yang mengganggp drama atau filem sejarah membosankan.

"Saya lebih rela tak berlakon kalau tiada skrip begini," katanya yang baru saja selesai menjalani penggambaran filem Usop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium di Tanjung Malim, Perak baru-baru ini.

Mengulas tentang wataknya dalam filem bergenre komedi tersebut kata Nasir, dia mempunyai alasan tersendiri iaitu untuk menghidupkan watak Sultan Melaka yang cukup terkenal dalam Sejarah Melayu.

Terpikat dengan salah satu baris skrip yang diucapkan Sultan Melaka iaitu 'Sejarah tidak pernah mati dan terlalu berharga untuk mati' kata Nasir, itu sudah cukup membuatkan dia tertarik untuk menerima lamaran membintangi filem tersebut.

"Perjuangan hidup kita ini perlu jelas dan ada matlamat. Saya memang selektif dalam soal kerjaya saya. Soal bayaran menjadi perkara kedua.

"Andai kata penerbit tidak membayar saya selayaknya, itu adalah masalah dia dengan Tuhan. Dia akan menjawab sebab tidak berlaku adil kepada pekerja seni macam saya," katanya lagi.
Previous Post Next Post