Antara kumpulan yang menyertai sesi uji bakat I-Plugged tempoh hari.
BERBICARA mengenai program realiti kebanyakan yang ada dan dikomersial secara meluas fokusnya lebih kepada bidang nyanyian atau vokal.
Sehinggakan ramai yang muak lantaran menganggap sudah terlalu banyak program sedemikian rupa dilambakkan namun kualiti produk yang dicipta tidaklah sehebat mana.
Bukan nak mengata mana-mana program yang ada tetapi ini adalah salah satu realiti yang berlaku di dalam industri secara amnya.
Di sebalik lambakan program mencari penyanyi yang ada, I-Plugged cuba lari daripada sasaran itu namun masih berlandaskan konsep yang sama.
Memfokus kepada pencarian kumpulan muzik terbaik yang berkebolehan membuat persembahan secara unplugged, program terbitan Media Space Distribution Sdn. Bhd. ini memberi peluang kepada golongan remaja yang berbakat untuk melakar perjalanan seni mereka di dalam dunia arus perdana tanah air.
Disiarkan di TVi (Astro 180) pada setiap Khamis pukul 9 malam, I-Plugged dikendalikan oleh pengacaranya, Lan Kristal.
Menurut pengarah kreatif program, Yusmi Harif, uji bakat telah disertai lebih 200 orang meskipun baru diperkenalkan.
"Sambutan khalayak baik sekali. Sepanjang uji bakat diadakan, memang tak menang tangan. Adat mengadakan program uji bakat, pasti banyak juga ragam dan kejadian yang berlaku.
"Itu menjadi sebahagian daripada pengisian program. Penonton boleh melihat sendiri bagaimana dan apa yang berlaku di lokasi sepanjang program uji bakat dijalankan," katanya.
Program 13 episod ini diadili oleh tiga juri tetap. Mereka ialah Editor Media Hiburan, Meen Tahrin, vokalis kumpulan Sofazr, Ameer dan pemain gitar kumpulan Kristal, Rodi.
Pada setiap episod yang disiarkan akan menampilkan tiga buah kumpulan yang telah dipilih oleh juri dan paparan sebuah klip insiden menarik yang dipilih sewaktu sesi uji bakat dijalankan.
Sebanyak 27 buah kumpulan telah terpilih daripada 200 penyertaan yang diterima untuk memastikan kumpulan layak ke peringkat akhir. Daripada jumlah itu, cuma empat buah kumpulan sahaja dipilih untuk ke final dan seterusnya merebut gelaran juara I-Plugged musim pertama.
Program ini menawarkan hadiah utama berupa wang tunai RM10,000 berserta hadiah iringan seperti peralatan muzik, kamera, barangan kemas, jam tangan, baucer tunai dan sebagainya.
Sementara itu menurut Ameer, dia yang dipertanggungjawab untuk menilai vokal peserta melihat I-Plugged mampu melahirkan peserta yang berkualiti berbanding program lain yang sedia ada.
"Satu tangungjawab untuk kami bertiga memastikan hanya yang terbaik layak ke peringkat seterusnya. Ada juga kumpulan yang datang ujibakat tidak bersedia. Ada yang gugup, lupa lirik dan lebih lucu tertingal peralatan muzik dan sebagainya.
"Saya dapati peserta-peserta ini memang mempunyai identiti suara yang tersendiri. Bayangkan rata-rata yang hadir sudah mempunyai asas nyanyian yang bagus kerana mereka terdiri daripada pelbagai latar.
"Ada yang sudah biasa membuat persembahan jalanan dan berhadapan dengan orang ramai. Ada juga para pelajar jurusan muzik yang hadir.
"Dari sudut komersial saya bersetuju sememangnya penyiaran rancangan ini tepat pada masanya kerana sekarang ini konsep persembahan unplugged menjadi trending pengemar muzik berkumpulan dan semakin berkembang.
"Apa-apa pun syabas diucapkan kepada mereka kerana berani mencuba, itu yang paling penting," jelas Ameer.