Fear Factor Kami kuat dan lasak!


DARI kiri: Ryzal Jaafar, Erin Malek dan Sari Yanti cabar diri di dalam Fear Factor Malaysia.

MAHU buang tanggapan mengatakan mereka ‘lembik’! Itu azam Ryzal Jaafar, 32, Sari Yanti, 30, dan Erin Malek, 20, di dalam usaha untuk mengubah persepsi masyarakat kepada mereka.

Malah ketiga-tiga pelakon ini juga mahu membuka mata semua dengan membuktikan keupayaan sebenar mereka.

Justeru mereka nekad untuk menyertai program realiti Fear Factor Malaysia dengan tujuan untuk menguji tahap ketahanan mental dan fizikal masing-masing.

Tentu sahaja berdepan dengan saat getir untuk menyelesaikan tugas sewaktu rakaman berlangsung di Afrika Selatan tidak berapa lama dulu cukup menguji kehebatan diri mereka.

"Memang ada tanggapan yang memperlekehkan saya hanya kerana bermuka ‘jambu’ dan berkulit putih.




"Tapi saya tepis segalanya. Sebab realitinya saya seorang lasak. Gemar kepada aktiviti seperti mendaki bukit cuma kurang berpeluang melakukannya kerana kekangan masa," kata Ryzal yang berharap agar persepsi negatif itu dapat dikikis daripada dirinya.

Mengakui penampilan adalah penting kepada golongan selebriti bagaimanapun kata Ryzal, dia tidak kisah dilihat comot di dalam program yang sudah mula ditayangkan semalam (Sabtu).

Ini kerana bagi Ryzal yang penting adalah kejayaannya mengatasi ketakutan sekali gus menambah keyakinan diri untuk lebih berani melakukan ativiti lasak.

"Lepas ini saya akan terima tawaran untuk beraksi lasak. Kalau dahulu membawa motorcross adalah pencapaian terbaik saya, kini tidak lagi," katanya lagi.

Kepuasan tersendiri - Sari Yanti

Pendapat Ryzal turut disokong oleh Sari Yanti. Ibu kepada dua anak ini juga berjaya mencabar diri dan melalui sendiri pengalaman perit melakukan aktiviti lasak.

Sebagai wanita normal sudah pasti dia tidak terlepas daripada dibelenggu perasaan takut dan geli terutama berdepan dengan cabaran mengawal mental.

"Saya lebih takut untuk merasai makanan yang pelik-pelik," kata Sari Yanti menceritakan detik cemas sewaktu penggambaran program tersebut.

Lembut tapi ekstrem - Erin

SEMENTARA itu Erin mengakui dia seorang yang lasak biarpun ‘wajahnya’ tidak menggambarkan keberaniannya itu.

Mempunyai minat yang mendalam untuk mencuba aktiviti-aktiviti ekstrem sejak kecil kata Erin, dia gemar menguji ketahanan diri dengan pelbagai kegiatan yang memerlukan kawalan minda dan fizikal.

"Walau pun saya lembut tapi saya seorang yang kasar. Jadi saya berani untuk melakukan apa saja aktiviti yang dilakukan oleh golongan lelaki seperti melakukan terjunan bungee dan menyelam di dasar lautan.

"Tapi jangan salah faham. Saya hanya gemar aktiviti lasak tapi bukan berperangai seperti lelaki," katanya penuh makna.

Fear Factor Malaysia menampilkan 16 pasangan yang menyatukan selebriti tanah air dan peminat buat pertama kalinya.

Antara barisan selebriti yang terlibat ialah Norman Hakim, Dira Abu Zahar, Izzue Islam, Shuib Sepahtu, Shah Iskandar, Syed Ali dan Azura Zainal.

Mereka kemudiannya dibahagikan kepada dua kumpulan untuk memenangi cabaran dengan ganjaran wang tunai sebanyak RM200,000.

Biar pun format penerbitannya berbeza dengan Fear Factor Selebriti Malaysia yang pernah bersiaran tahun lalu namun rancangan itu tetap mengekalkan cabaran yang sama hebat.

Fear Factor Malaysia disiarkan setiap Sabtu manakala sisipan belakang tabir boleh ditonton menerusi Akses Fear Factor Malaysia pada Ahad di Astro Ria bermula pukul 9 malam.
Previous Post Next Post