Almy Nadia Berkahwin jua akhirnya



SELEPAS mengharungi pelbagai kontroversi dan ‘drama’ di dalam hubungan, Fizz Fairuz akhirnya membuat keputusan - keputusan yang selama ini ditunggu-tunggu oleh khalayak.

Masakan tidak hubungan Fizz dan kekasihnya, Almy Nadia telah melalui pelbagai ranjau sehingga menjadi perhatian masyarakat kira-kira setahun yang lalu.

Putus dan kembali bercinta malah insiden bertunang dengan isteri orang membuatkan pasangan ini menjadi bualan ramai.

Kini selepas membuat keputusan untuk bernikah pada 30 Mei ini, pasangan ini tidak mahu lagi mengingati kenangan pahit yang pernah tercatat di dalam kamus cinta mereka.

Hari ini mereka sedang melalui fasa lebih serius dan lebih indah untuk bergelar suami isteri malah bagi lelaki yang berusia 35 tahun ini, dia enggan lagi menoleh ke belakang.

Meskipun ada yang kurang yakin dengan keputusan untuk bernikah, Fizz tidak melatah. Baginya orang lain berhak untuk bercakap mengenainya tetapi hanya dia dan Almy sahaja yang tahu apa yang berlaku.




"Ini cerita baik (tentang kahwin).

Kenapa masih nak kaitkan cerita lama?" kata Fizz kepada Pancaindera.

Malah Almy ketika dihubungi nyata gembira dengan pengumuman perkahwinan yang dibuat oleh buah hatinya itu.

"Saya gembira akhirnya dia terbuka hati nak memperisterikan saya. Semua persiapan kahwin dia buat dan itu yang menambahkan lagi rasa kasih saya.

"Paling penting apabila kedua-dua keluarga bersetuju untuk melihat kami di atas pelamin. Doa mereka nampaknya terkabul dan harap terus kekal sampai akhir hayat," ujar Almy.

Masa depan bersama

Bercerita tentang pernikahan dan perancangan masa depan Fizz berkata, persediaan untuk melangsungkan perkahwinan sudah lama.

"Cuma belum sampai waktunya sahaja. Mungkin ini masa yang sesuai untuk saya bernikah," katanya yang memilih 30 Mei untuk melangsungkan pernikahan dan mengadakan resepsi sehari selepas itu.

Menurut Fizz, segala-galanya telah dirancang oleh kedua-dua belah pihak sejak mereka memeterai ikatan pertunangan pada 22 Oktober lalu yang juga merupakan ulang tahun kelahirannya.

Tidak menghebahkan perkara berkenaan, Fizz menganggap majlis itu sebagai acara keluarga yang tidak perlu digembar-gembur kepada semua pihak.

Malah majlis perkahwinannya juga akan dibuat secara sederhana.

"Cukup sekadar majlis nikah dan bersanding untuk kedua-dua belah keluarga.

"Saya pun tak akan berhabis-habisan atau bermegah-megah buat majlis kahwin. Biar sederhana dan menjadi tanda ingatan yang manis sampai akhir hayat," tambahnya.

Pilihan terbaik

Melihatkan Almy sebagai wanita yang cukup sabar dan penyayang, pelakon ini menganggap Almy merupakan wanita yang begitu baik yang pernah dimilikinya.

Kesabaran Almy melayan dirinya menambahkan rasa kasih di antara mereka.

Jika mengikut perancangan Fizz bakal mengadakan majlis di sebelah pihaknya di Padang Majlis Daerah Raub, Pahang yang juga tempat kelahirannya pada Jun ini.

"Cuma saya tak ada lagi tarikh untuk di Raub memandangkan surat baru sahaja dihantar kepada pihak berwajib di sana.

"Insya-Allah saya akan menjemput orang kampung dan sahabat handai ke sana.

"Buat masa ini hampir 60 peratus persediaan sudah dibuat. Semuanya saya lakukan sendiri walaupun sibuk dengan jadual penggambaran hampir setiap hari," jelasnya yang sedang menjalani penggambaran filem Cicakman 3.

Tidak menolak untuk ditaja, Fizz membuka seluas-luasnya peluang tersebut kepada sesiapa yang berminat.

Almy tak keruan

TIDAK ada siapa yang dapat menelah apa yang bersarang di hatinya kini. Gelodak jiwa yang semakin membara membuatkan Almy Nadia tidak keruan mengenangkan hari bahagia yang bakal menjelma.

Bagi wanita ini tiada perkara paling indah selain memikirkan detik hari bahagia dan saat untuk disatukan sebagai suami isteri kelak.

"Kalau ikutkan perkara ini memang menjadi rahsia di antara keluarga saat kami sah bertunang dulu. Saya masih ada perasaan berdebar dan macam-macam rasa apabila Fizz benar-benar melamar.

"Tipu kalau saya kata tak gembira. Kalau nak ikutkan kesungguhan Fizz untuk bernikah itu saya sambut dengan rasa syukur," jelasnya tanpa berselindung.

Lapan tahun menyemai rasa cinta Almy yakin pilihannya tepat. Fizz tidak seperti yang digambarkan sesetengah pihak memandangkan dia banyak berkorban untuk dirinya.

Paling tidak kebaikan yang ditunjukkan oleh bakal suaminya itu tidak mampu dibalas oleh wanita yang menginjak usia 28 tahun ini.

Bakal menerima wang hantaran sebanyak RM20,000, pasangan ini merancang untuk berbulan madu di Maldives.
Previous Post Next Post