KOMEDI dicipta untuk merangsang ketawa. Caranya pelbagai tetapi bukan mudah sebenarnya untuk menggeletek hati secara umum. Ramai yang cuba untuk menjadi pelawak tetapi jumlah yang berjaya dalam medium komersial tempatan sebenarnya agak kecil bilangannya.
Kerjaya seni sebagai pelakon komedi sebenarnya istimewa. Menyaksikan wajah mereka sahaja, spontan kita mampu ketawa sehingga tidak kering gusi. Itu uniknya pelawak yang memikat audiens melalui aksi spontan, slapstik atau menggunakan peralatan.
Mengambil contoh beberapa pelawak masyhur Barat seperti Rowan Atkinson, Jim Carrey, Eddie Murphy, Steve Martin, Robin Williams, Bill Cosby, Keenen Ivory Wayans, Joan Rivers, Richard Pryor dan Bob Newhart, setiap daripada mereka menjadi produk paling mahal.
Maka, tidak hairan apabila nama-nama itu menerima pelbagai penghargaan. Ada yang memainkan peranan utama dalam filem biarpun sudah melangkaui usia emas. Tidak ketinggalan, mereka turut mempunyai program bual bicara sendiri. Tanpa banyak soal, pelawak antarabangsa dijulang sama darjat dengan selebriti tersohor Hollywood lain.
Begitupun, jenaka pelawak tanah air tidak kurang hebatnya. Deretan nama besar seperti Datuk Aziz Sattar, S. Shamsudin, M. Zain, Ahmad Nisfu, A.R. Tompel dan Ibrahim Din dicantumkan antara tukang lawak veteran. Mereka sinonim dengan himpunan filem komedi arahan Seniman Agung, Tan Sri P. Ramlee sejak lebih lima dekad lalu.
Persoalannya, apakah kualiti yang perlu ada dalam diri pelakon komedi? Apabila memperkatakan tentang lawak jenaka, penonton hari ini sudah bijak untuk menilai tahap kebijaksanaan seorang pelawak dalam persembahan mereka. Oleh itu, pelawak komedi pada hari ini seharusnya mempunyai kualiti dan pencapaian yang boleh dibanggakan.