Linda Rafar Ini bukan karut



KEPERCAYAAN kepada perkara berkaitan ilmu sihir terus berlaku sekalipun pada era teknologi yang semakin maju pada hari ini.

Mengaitkan hal kepercayaan itu dengan dunia perubatan, pelakon Linda Rafar mempunyai penjelasan tersendiri mengenai sesetengah pendapat masyarakat berhubung unsur perubatan alternatif.

Tegasnya, oleh kerana ramai yang keliru dengan perubatan alternatif menyebabkan mereka tidak mengendahkan kebaikan dan faedah yang boleh diperolehi melaluinya.

Malah dia yang mengusahakan pusat rawatan alternatif, Home Spa Ice Therapy bersama adiknya, Diana Rafar berkata, ramai beranggapan kaedah yang digunakan di dalam perubatan alternatif menjurus kepada kepercayaan karut.




Seperti rawatan yang diusahakannya yang menggunakan ais sebagai unsur utama, spa tersebut turut menyediakan rawatan mandi bunga menggunakan ekstrak pati bunga terpilih yang seringkali dipandang serong oleh sesetengah pihak.

"Sebenarnya ramai yang beranggapan mandi bunga itu mengikut kepercayaan tahyul dan seumpamanya. Walhal dari sudut sains telah terbukti yang mandi bunga ini banyak kelebihan bagi seseorang individu khususnya wanita.

"Tak sahaja untuk cantik tapi juga kebaikan lain terutama faktor kesihatan. Janganlah fikir ini satu kepercayaan karut kerana sains juga telah membuktikan kelebihannya," kata Linda.

Menyedari bahawa sukar untuk memperbetulkan tanggapan sesetengah masyarakat yang masih kolot mengenai hal itu kata pelakon ini, dia sendiri mengamalkan rawatan tersebut untuk kecantikan dan kesihatan.

Malah selain mandi bunga dia juga paling kerap melakukan rawatan mandi ais.

"Saya mengaku rajin mengamalkan rawatan mandi ais. Saya lakukan tiga kali seminggu. Rawatan menggunakan hidroterapi ais ini memang bagus untuk tubuh kita.

"Hidroterapi ais tidak memberi kesan bahaya kepada tubuh badan sebaliknya membantu mengembalikan semula kekuatan tulang, meningkatkan keseimbangan sistem ketahanan tubuh, antibodi dan sistem hormon.

"Memanglah rasa sejuk pada 30 minit awal berendam di dalam tab yang dipenuhi ais tetapi selepas itu badan mula serasi dan kita akan rasa okey.

"Rendaman itu juga tidak cuma ais semata-mata tetapi ditambah dengan titisan aroma terapi seri wajah, garam kasar, sulfur, hidro natrium, kapur sirih dan gel mandian yang mengikut keperluan fungsi tubuh individu.

Produk berdaftar

Linda yang kini turut memiliki perniagaan produk kecantikan LR Flawless Skincare yang diusahakan bersama rakan bersyukur kerana usaha untuk melihat perniagaannya rancak di pasaran termakbul.

Memulakan perniagaan itu sejak lima bulan lalu kata Linda, dia banyak menjual produknya itu menerusi laman sosial terutama di Instagram kerana lebih mudah dan dekat dengan pelanggan.

Sekalipun rancak berniaga secara atas talian Linda tidak mengabaikan soal keselamatan produk yang dijual.

"Saya tahu sekarang ini ramai yang ghairah menjual produk kecantikan di laman sosial. Sebagai penjual dan juga pengguna, nasihat saya agar pastikan produk yang kita jual itu selamat digunakan oleh orang ramai.

"Tak dinafikan ada peniaga yang tidak ambil kisah mengenai hal ini termasuk enggan mendaftar produk kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

" Ini salah dan membahayakan pengguna yang bukan sahaja telah melabur wang mereka tetapi juga kepercayaan produk syarikat kita.

"Jika kesannya teruk kita juga yang akan dipersalahkan. Jadi jangan ambil mudah hal ini," katanya yang juga memiliki sebuah gerai jualan produknya di Busana@Menara Mara, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.
Previous Post Next Post