Lisa Surihani Biar ALLAH ampunkan dia!



PELAKON Istanbul Aku Datang, Lisa Surihani, 28, adalah orang yang paling gembira apabila sahabatnya, pelakon dan pengacara Scha Al Yahya mengumumkan tentang kehamilannya.

“Sebagai teman baik saya sangat gembira untuk mereka! Sebelum pengumuman mereka, Awal ada beritahu saya tapi masa itu dia dengan Scha belum pasti lagi dan masih tak bersedia nak kongsi berita tersebut dengan peminat,” kata Lisa yang mengharapkan gilirannya pula selepas ini.

Menurut Lisa, sebagai seorang isteri dia juga mahu melalui saat gembira seperti Scha mahupun wanita lain, namun jauh di sudut hatinya sangat kecewa dengan sikap sesetengah pihak yang mempersoalkan perkara tersebut kepadanya sehingga menyentuh ke peringkat yang terlalu peribadi.

“Ini semua rezeki ALLAH, Saya tak kisah kalau orang kerap bertanya, tapi saya tak boleh terima bila ada soalan-soalan daripada orang sekeliling yang sampaikan menyentuh hal yang terlalu peribadi.

“Pernah ada yang datang pada saya, tanya bila lagi? Sedangkan dia pun dah hamil sambil menunjuk-nunjuk perutnya. Saya minta biar ALLAH ampunkan dia, sebab melukakan hati orang lain.

"Saya tak faham mengapa mereka tak sensitif dan tak menjaga perasaan orang lain. Cubalah mereka letakkan diri mereka dalam situasi saya.

"Mungkin belum rezeki kami. Bukan kami tak berusaha dan perlukah berkongsi tentang semua perkara itu pada umum? Apa pun, saya tak mahu terlalu memikirkan kerana ia akan membuatkan saya tertekan,” katanya yang berkecil hati dengan segelintir pihak.

Bagaimanapun, Lisa bersyukur apabila luahan rasa kesalnya mengenai isu tersebut di Instagram, baru-baru ini mendapat sokongan ramai peminatnya.

Lisa yang hampir dua tahun mendirikan rumah tangga dengan pengarah dan pelakon Yusry Abdul Halim turut mengharapkan peminat dapat mendoakan kebahagiaan dan keharmonian rumah tangga mereka.




Risau dimarahi Yusri

Dalam pada itu menyentuh mengenai perkembangan karier, kini Lisa kini sedang sibuk menjalani penggambaran filem Cicakman The Movie 3.

Menurut Lisa, cabaran yang dihadapi apabila dia perlu menahan ketawa apabila berhadapan dan berlakon dengan Zizan Razak.

“Saya memang jenis yang suka komedi. Jadi, bila berlakon di samping Zizan, tengok mukanya saja saya dah nak tergelak, tapi saya kena tahan, kerana saya pegang watak serius,” katanya yang memegang watak isteri kepada Zizan dalam filem berkenaan.

Dalam perkembangan sama, menurut Lisa, timbul juga rasa bimbang untuk bekerja di bawah arahan suaminya. Namun, dia cuba untuk bekerja secara profesional.

“Saya risau kerja dengan Yusry sebab saya ni manja, takut kalau kena marah nanti saya akan terasa hati. Tapi bila di set kami dapat bekerja secara profesional,” katanya.

Menurut Lisa, setiap kali masuk ke set, Yusry akan memanggilnya dengan nama watak iaitu Linda. Namun, ada pernah sekali, Yusry tersasul memanggilnya dengan panggilan sayang dan betulkannya panggil semula nama watak tersebut.

“Bagi saya, inilah pengertian profesional,” katanya yang sebelum ini pernah berlakon bersama dengan Yusry menerusi filem Ular.

Dalam perkembangan lain, selepas penggambaran Cicakman, Lisa bakal berlakon di bawah filem arahan Osman Ali melibatkan pelakon dari Singapura dan Indonesia.
Previous Post Next Post