Marsha kecewa Laga kecundang



SEKSI dan gedik merupakan dua perwatakan yang sering dikaitkan dengan dirinya sama ada di alam realiti mahupun lakonan.

Namun kini dia enggan terus dikaitkan dengan isu sedemikian malah membuktikan kepelbagaian watak yang mampu dibawanya sejak akhir-akhir ini.

"Kalau dulu orang selalu anggap saya hanya boleh membawakan watak sebegitu tapi persepsi mereka sudah berubah," tegas empunya diri, Marsha Milan Londoh.

Baginya tiada isu untuk terus mengaitkan dirinya sebagai seorang pelakon yang hanya bersandarkan rupa semata-mata.

Malah tuduhan yang dilemparkan sesetengah pihak itu membuatkan dia terkesan.




"Bila sebut Marsha orang akan ingat isu seksi tapi saya sebenarnya boleh melakukan banyak perkara lain yang lebih baik untuk mereka kenang.

"Tak ada masalah pun isu seksi itu dengan diri saya sebab saya pun bukan orang baru di dalam industri. Asalkan tak menjejaskan periuk nasi saya sudahlah," ujar Marsha.

Menyifatkan kerjaya lakonan sebagai sebahagian daripada hidupnya, penyanyi dan pengacara yang dibesarkan di Sabah ini yakin mampu memberikan sesuatu setiap kali terlibat di dalam filem mahu pun drama yang dibintanginya.

Malah Marsha mempertahankan adegan panas lakonannya untuk filem Laga yang dianggap sesetengah pihak sebagai keterlaluan.

"Saya sedar ramai yang mengata dan cakap macam-macam bila tengok aksi berkemban saya dalam filem berkenaan. Tak ada isu besar pun sebab apa yang dipaparkan adalah realiti.

"Kalau tengok masyarakat kampung satu masa dulu pun, mereka mandi atau duduk di rumah hanya berkain batik sahaja. Tapi bila saya bawa watak begitu dikritik pula.

"Lainlah kalau babak tersebut tak masuk akal atau melampaui batas. Itu memang wajar untuk mereka marah." katanya.

Walaupun Laga kurang mendapat sambutan Marsha tidak patah hati memandangkan sudah memberikan yang terbaik kepada filem berkenaan.

Mengikut laporan Perbadanan Kemajuan Filem Negara (Finas) sehingga 3 Februari yang lalu, filem tersebut hanya mampu mengumpul kutipan sebanyak RM130,000 sahaja.

Kutipan yang rendah itu tidak mematahkan semangat Marsha meskipun mengakui sedih dengan perkara berkenaan.

"Siapa yang tak sedih melihat kutipan tiket sebanyak itu. Kami para pelakon sudah memberikan yang terbaik untuk Laga tetapi peminat enggan ke panggung.

"Saya melihat Laga sebagai naskhah yang bagus. Jarang ada filem begini sejak kebelakangan ini tapi orang pula tak mahu memberikan sokongan.

"Tapi tak mengapa sebab saya sudah memberikan yang terbaik," tegas pelakon yang bakal muncul dengan filem Jwanita dan Tujuh ini lagi.

Fokus

Tidak mahu mempersiakan bakat yang ada, pengacara program Propaganza ini tidak mahu memberikan tumpuan lebih kepada mana-mana cabang seni yang disertai.

Biarpun komitmen mingguan untuk mengendalikan program hiburan berkenaan banyak mengekang jadual kerja yang namun itu bukan alasan untuk menolak tawaran lain.

"Sejujurnya memang banyak kali juga saya menolak tawaran teater atau pun drama-drama bersiri disebabkan oleh kekangan masa.

"Tapi saya percaya rezeki ada di mana-mana dan tak perlu nak dirisaukan sangat. Apa yang penting saya berusaha.

"Kalau menunggu sahaja alamatnya tak berasap dapur saya," katanya tertawa sambil mengakui bahawa pengacaraan merupakan minatnya.

Bercerita tentang kerjaya nyanyian pula kata Marsha, dia baru saja merakamkan lagu duet Cinta Sesungguhnya bersama-sama Sabbi Sadhi.

Menganggap bidang nyanyian sebagai keutamaan, Marsha yang sebelum ini popular dengan lagu Jujur Bilang Cinta ini memberitahu bakal menghasilkan album kompilasi tidak lama lagi.

Album tersebut mengumpulkan single nyanyiannya sebelum

ini termasuk lagu Bebas yang menjadi lagu tema untuk filem Frozen.

VIDEO KLIP: Marsha Milan Londoh - Bebaskan
Previous Post Next Post