MIG sedia hadapi cabaran 2014



FILEM Syukur 21, adalah percaturan pertama syarikat penerbitan gergasi, Metrowealth International Group (MIG) pada 2000.

Walaupun filem ini gagal mendapat sambutan daripada penonton, namun semangat tidak pernah kenal putus asa daripada pucuk pimpinannya wajar dicontohi.

Ia kemudian diteruskan dengan filem-filem berikutnya termasuk, No Problem, Mendam Berahi, Mami Jarum, Mistik, Mami Jarum Junior, Cinta Kolestrol, Jutawan Fakir, Kuliah Cinta, Hingga Hujung Nyawa, 7 Perhentian, Tangkai Jering dan Cinta Fotokopi.

Tahun berganti tahun, setiap jatuh bangun perjalanan seni dikutip sebagai pengajaran dan pengalaman dalam meniti kejayaan pada masa hadapan.

Setelah 14 tahun berlalu, kini MIG mampu berdiri teguh dan semestinya, ia menjadi satu kebanggaan buat Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mejar (K) David Teo.

Usah ditanya mengenai cabaran dan dugaan, pastinya ia turut menghiasi perjalanan seni MIG lebih satu dekad dalam bidang perfileman tempatan.

Kesempatan yang ada ketika majlis, sambutan Tahun Baharu Cina dan Kesyukuran MIG Bersama Media, baru-baru ini digunakan Zass untuk bertanya mengenai perjalanan syarikat berkenaan.

Sentiasa optimis dalam berkongsi kisah suka dan duka, David turut bercerita serba sedikit mengenai perancangannya di tahun Kuda Air ini.




Tahun 2013 melabuhkan tirainya. Apa yang boleh anda simpulkan secara keseluruhan mengenai perjalanan seni sepanjang tahun lalu?

Saya akui, 2013 merupakan tahun yang paling suram sejak dua tiga tahun kebelakangan ini terutamanya dari segi kutipan di pawagam. Hanya beberapa filem sahaja yang mampu mencapai kutipan balik modal dan kutipan tertinggi iaitu Adnan Sempit 3, Minyak Dagu, Highland Tower dan Ustaz, Mu Tunggu Aku Datang, manakala filem yang meraih kutipan paling rendah ialah, Aku Pilih Kamu.

Bagaimana pula dengan jumlah kutipan keseluruhan pada tahun lalu?

Sepanjang tahun lalu, sebanyak 17 filem yang ditayangkan. Walaupun pada 2012, MIG mencatat jumlah kutipan keseluruhan sebanyak RM40 juta bagi sembilan filem, namun pada tahun lalu, hanya RM22 juta sahaja walaupun kami mempertaruhkan 17 filem. Pun begitu, MIG masih mendominasi jumlah kutipan filem Melayu, melebihi 31 peratus. Selain filem, MIG juga turut menghasilkan beberapa drama untuk tayangan televisyen pada tahun lalu termasuk, Ruby, Bini-Bini Perkasa, Dewi Lasak, Dia Suamiku serta telefilem seperti Suamiku Jururawat dan Adnan Balik Raya. MIG turut berbangga dengan penghasilan drama apabila setiap daripadanya berjaya mendapat sambutan hebat daripada penonton televisyen.

Apa pula perancangan pada tahun ini?

Tahun Kuda Air merupakan tahun yang mencabar kerana mengikut kepercayaan, cabaran dan dugaan itu akan terus mengekori perjalanan kita. Jadi, saya perlu bersedia dengan beberapa pelan lain termasuk berjimat cermat dalam perbelanjaan, mengurangkan kos produksi, memikirkan kualiti serta menyediakan platform lain untuk menjana pendapatan. Setelah melalui beberapa perbincangan, kami sepakat untuk lebih berhati-hati dan cermat memandangkan kos sara hidup semakin meningkat. Dengan cara ini, kami dapat mengelak daripada berlakunya kerugian yang berlipat ganda. Pun begitu, kami tidak akan terlepas pandang mengenai kualiti produk dan juga menambah baik dari segi penyuntingan.

Paling mengujakan, kami akan memperkenalkan saluran televisyen khas untuk masyarakat di luar negara termasuk Indonesia, Singapura dan Thailand. Pelaksanaan ini membolehkan penonton dari negara berkenaan menikmati filem-filem terbitan MIG memandangkan kami kini sudah menghasilkan lebih 116 judul filem di sepanjang penubuhan.

Ini juga merupakan langkah yang akan kami gunakan untuk menjana pendapatan lain selain pawagam, penjualan video cakera padat (CD) dan tayangan di Astro First. Sebagai syarikat penerbitan yang galak dalam menghasilkan filem, kami perlu melangkah dan terus melangkah. Ia juga akan menjadi penanda aras kepada kejayaan kami dan membuktikan MIG bukan hanya syarikat penerbitan, malah turut diperluaskan peranannya.

Apa pula sasaran dan juga perancangan jangka masa panjang MIG?

Sehingga penghujung tahun lalu, kami menayangkan 88 filem. Malah, untuk 2014 kami menjangkakan untuk mencapai 100 filem di pawagam. Ada beberapa filem sudah pun ditayangkan termasuk Muka Surat Cinta dan Jangan Pandang Belakang Boleh?. Selain itu, filem mandarin, Glorifying Love, Awak Nak Kahwin Dengan Saya?, Pengantin Malam, Lu Gua…Bro?, Adnan Sempit Sawadikap, Nasi Kangkang, Kelibat, Sniper, Kasut Ku Kusut dan Kitai juga sedang menanti tayangan. MIG juga turut menyasarkan 200 filem terbitan sehingga penghujung 2018. Malah, saya mempunyai sasaran sendiri iaitu ingin mencipta rekod sebagai penerbit yang berjaya menghasilkan 1,000 filem di sepanjang penglibatan saya dalam industri. Diharapkan, ia akan menjadi kenyataan.

Ada yang mendakwa karya anda hanya mementingkan kuantiti berbanding kualiti…

Saya tidak cepat melatah dengan segala kritikan dan pandangan yang diberi oleh masyarakat atau mana-mana pihak. Walaupun ada segelintir pihak yang menganggap filem terbitan kami tidak berkualiti, namun ia tidak pernah mematahkan semangat kami untuk terus berusaha. Malah, kritikan itu akan digunakan untuk kami memperbaiki kelemahan lalu.

Mengenai kontroversi dalam kalangan artis naungan MIG, adakah anda akan lebih berhati-hati dari segi pemilihan mahupun kontrak?

Bagi saya, perkara itu adalah lumrah dalam perjalanan seni. Walaupun saya sedaya upaya cuba mengelakkan apa-apa kontroversi yang melibatkan ‘anak-anak’ saya, namun saya tidak mampu menidakkannya. Lagipun, saya tiada kuasa untuk memastikan ke semua daripada mereka mengikuti apa yang telah saya nasihatkan.

Terpulang kepada diri masing-masing kerana ia mempengaruhi perjalanan seni mereka. Jika nasihat saya tidak dipandang, apa lagi saya mahu buat? Namun, tidak semua yang begitu. Hanya segelintir sahaja dan ia tidak menjadi ‘duri’ buat saya. Bagi yang pernah melakukan kesilapan, saya tiada masalah untuk menerima mereka kembali kerana saya sedia memaafkan mereka.

Bagaimana pula dengan artis residen dan krew MIG?

Pada tahun ini, MIG mempunyai 42 artis residen dan 11 pengarah. Antara artis yang masih bernaung di bawah label MIG termasuk Diana Amir, Zalif Sidek, Mikael Andre, Intan Ladyana, Nora Danish, Pierre Andre, Shaheizy Sam, Farid Kamil, Uqasha Senrose, Shima Anuar dan Wawa Zainal. Manakala pengarah pula terdiri daripada Hashim Rejab, Ismail Bob Hasim, Eoon Shuhaini dan Eyra Rahman.

Akhir sekali, apakah harapan anda untuk perjalanan seni tahun ini dan seterusnya?

Tahun 2014 bakal menyaksikan barisan filem keluaran MIG memeriahkan pawagam. Usaha bakal dilipat gandakan bagi memastikan kecemerlangan yang di kecapi akan berterusan pada tahun ini dan akan datang.
Sejajar dengan slogan ‘Bintang Dicipta Bukan Dilahirkan’, MIG terus melahirkan bakat-bakat baru sebagai pelapis akan datang. MIG akan meneruskan usaha memeriahkan dan memberi peluang kepada industri filem tempatan mencapai kejayaan yang lebih memberangsangkan.

Saya berharap tahun ini menjanjikan peluang dan ruang yang lebih besar buat MIG dan pengamal industri yang lain. Semoga tahun ini menjadi lebih baik berbanding tahun sebelumnya.
Previous Post Next Post