Drama TV jadi pilihan



BIARPUN kutipan filem sejak dua tahun kebelakangan ini menunjukkan kemerosotan yang ketara, namun nasib sama tidak menimpa drama-drama yang ditayangkan di kaca TV.

Malah, sejak kebelakangan ini, populariti drama di stesen televisyen semakin menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan.

Manakala setiap drama yang dipertontonkan, pastinya mempunyai sebilangan pengikut setia yang sentiasa mengikuti perkembangan drama berkenaan.

Walaupun kebanyakan drama yang diadaptasi merupakan drama yang diadaptasi dari novel, namun karya itu berjaya menarik penonton yang bukan dari kalangan pembaca setia.

Kerja keras daripada stesen televisyen mahupun penerbit wajar dipuji dalam menyajikan karya yang berkualiti dan mampu menjadi fenomena.




Silih berganti, namun setiap drama yang melabuhkan tirai pasti disusuli dengan buah tangan yang lebih baik.

Jom kita lihat beberapa drama yang kini sedang ditayangkan di saluran televisyen yang mempunyai kelompok peminat yang tersendiri.

Tajuk : Ariana Rose
Saluran : TV3
Waktu Siaran : Isnin – Khamis, 7 hingga 8 malam
Slot : Akasia
Pengarah : Raja Alauddin Shah


Drama bersiri Ariana Rose ini mula ditayangkan pada 30 Disember lalu menggantikan drama, Playboy Itu Suami Aku.
Drama ini mengisahkan tentang Ariana Rose yang menyamar sebagai kekasih Tengku Adam ketika di majlis pernikahan Tengku Adam dan Tengku Juwita.
Ariana bersetuju untuk berlakon kononnya dia sedang mengandungkan anak Tengku Adam demi membantu sahabat baiknya, Tengku Juwita agar perkahwinan itu gagal diteruskan.
Tengku Juwita sememangnya tidak mahu bersama dengan Tengku Adam yang terkenal dengan sikap kaki perempuan.
Pengakuan palsu itu telah memporak-perandakan majlis itu dan perkahwinan Tengku Adam dan Tengku Juwita juga dibatalkan. Bukan reputasi Tengku Adam sahaja dipandang rendah malah maruah keluarga. Setelah berjaya mendapat maklumat tentang Ariana, Tengku Adam nekad untuk menculik Ariana dan membawa gadis itu ke Cameron Highlands.
Tengku Adam masih tidak berpuas hati. Kemudian dia terpaksa menggunakan cara kotor dengan meragut kesucian Ariana. Ariana menyesal dan akhirnya mengakui kebenarannya.
Ariana mula membenci Tengku Adam dan sejak itu dia tidak mahu lagi bertemu lelaki yang telah memperkosanya.

Tajuk : Projek Memikat Suami
Saluran : Astro Ria
Waktu siaran : Setiap Isnin, 9 hingga 10 malam
Pengarah : Emi Suffian Sabhe


Baharu sehari pulang ke tanah air selepas tamat pengajian, Nawwal Husna, dikejutkan dengan berita peminangannya.
Demi ummi dan babah, Husna bersetuju dengan permintaan itu meskipun dia tahu sangat sukar untuk bersama dengan lelaki yang memang tak sukakan dia.
Hidup berumah tangga dilayari berbekalkan nasihat dan petua dari kakak-kakaknya, yang lebih dikenali sebagai Master-ji dan Side-kick.
Berjayakah Nawwal Husna memikat suaminya si mamat ketul ais beku, Zahrain Alimin? Bolehkah ketul ais beku ini dicairkan?
Apabila mereka sudah menemui cinta itu, wujud pula penghalang dek rasa cemburu dan fitnah.
Berjayakah mereka mempertahankan rasa cinta yang baru hendak bercambah? Ikuti cabaran dan usaha Nawwal Husna untuk membina rumah tangga bahagia!

Tajuk : Ku Cinta Kau Seorang
Saluran : TV3
Slot : Lestary
Waktu Siaran : Selasa, 9 hingga 10 malam
Pengarah : Khairul Amri Haji Khalid (Keoi)


Drama rantaian 13 episod berjudul, Ku Cinta Kau Seorang, mula ditayangkan pada 19 November lalu menggantikan, Diandra.
Drama terbitan, Global Station Sdn. Bhd. menampilkan barisan pelakon terdiri daripada Remy Ishak, Amyra Rosli, Ruminah Sidek, Faradhiya, Zack X-Factor, Hafizzuddin, Bill Azali, dan ramai lagi.
Mengisahkan tentang Batrisya (Amyra Rosli) yang dibesarkan di dalam keluarga berada, namun ramai pembantu rumah terpaksa diberhentikan gara-gara kesalahan kecil.
Helmi (Remy Ishak), pekerja di restoran milik Datuk Hisham telah menegur sikap biadab Batrisya dan dia merasakan telah memalukannya. Lalu, dia meminta bapanya memberhentikan Helmi.
Namun, keengganan Datuk Hisham membuatkan Batrisya pergi ke luar negara selama sebulan tanda mogok.
Selepas puas bercuti, Batrisya pulang ke tanah air. Apabila tiba di hadapan pintu rumahnya, dia amat terkejut melihat papan tanda ‘Untuk Dijual’.
Batrisya bergegas ke restoran milik ayahnya, restoran itu juga telah ditutup. Batrisya berjumpa dengan Pak Cik Rahim yang kemudiannya menunjukkan surat mengatakan ayahnya telah muflis dan terpaksa melarikan diri disebabkan hutang-piutang yang banyak.
Batrisya pula terpaksa menumpang rumah Helmi mengikut wasiat yang telah ditulis bapanya.

Tajuk : 7 Suami
Saluran : TV9
Slot : Ratu
Waktu Siaran : Selasa dan Rabu, 8.30 malam
Pengarah : Heykal Hanifah


Mula bersiaran pada 29 Januari lalu, drama ini mengisahkan seorang gadis yang memiliki tujuh suami. Setiap perkahwinan ini sentiasa gagal dan tidak kekal mengakibatkan rumah tangga yang dibina musnah.
Adakah kebahagiaan akan menjadi milik wanita ini? Sama-sama kita saksikan drama terbaru terbitan Suhan Movies ini.
Previous Post Next Post