SETELAH beberapa kali terpaksa menangguhkan perkahwinannya, pelantun Angin Syurga, Misha Omar akhirnya mengumumkan akan menamatkan zaman bujang bersama tunang tercinta, Firos Ezzwan Rossly, 32, pada Mei ini.
Misha atau nama sebenarnya, Samihah Omar, 32, sebelum ini pernah menangguhkan perkahwinan pada September tahun lalu dan merancang berkahwin pada Februari ini, namun hasrat itu terpaksa dilupakan buat seketika kerana pemergian ayah tercinta.
“Sebelum ini, saya akui emosi tidak menentu kerana diduga dengan pemergian arwah ayah.
“Sepatutnya kami bernikah pada 21 Februari ini tapi kami tangguhkan sebab mahu hormati tempoh edah ibu.
“Tapi dua minggu lalu, ibu saya sendiri telah membuat keputusan untuk menetapkan tarikh pernikahan kami sempena bulan Rejab yang jatuhnya pada Mei ini,” katanya pada majlis minum petang di Restoran Delicious, One Utama, Damansara, semalam.
Tambahnya, tarikh itu ditetapkan kerana enggan menunggu lebih lama dan pada masa sama mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.
“Saya dan keluarga tidak mahu menunggu lebih lama lagi sebab takut ditimpa pelbagai fitnah.
“Kalau diikutkan 21 Februari ini genap dua tahun kami bertunang dan saya rasa Mei ini adalah masa yang sesuai untuk majlis ini dijalankan,” jelasnya.
Majlis pernikahan dan resepsi akan dijalankan di Hotel Renaissence, Kota Bahru, Kelantan pada hari yang sama.
Manakala majlis resepsi dipihak lelaki akan dijalankan di Kuala Lumpur.
Misha letak syarat
Bercerita lanjut mengenai persiapan hari besarnya, Misha memaklumkan bahawa majlis yang berlangsung akan dijalankan secara sederhana.
“Secara jujurnya kami masih belum kuat dengan pemergian arwah tapi kehidupan harus diteruskan.
“Jadi majlis pada hari tersebut, akan berjalan secara sederhana dengan kehadiran ahli keluarga terdekat,” katanya.
Misha bagaimanapun mengakui meletakkan beberapa syarat kepada bakal suaminya sempena majlis pernikahan yang bakal tiba itu.
“Saya enggan menerima mas kahwin berbentuk wang. Terserah padanya untuk berikan apa-apa sahaja sebagai simbolik perkahwinan kami,” katanya.
Selain itu, Misha turut memberitahu dia juga tidak mahu menerima barang hantaran berjenama.
“Barang hantaran, kami masing-masing akan berbalas lima dulang.
“Apa yang penting, saya tidak mahu menerima barangan hantaran berjenama kerana saya jenis yang lebih memikirkan kehidupan selepas kahwin,” ujarnya.
‘Percayakan Misha’ - Firos
Dalam pada masa yang sama, Firos akui lebih mengenali dan mempercayai bakal isterinya ketika di minta mengulas lanjut mengenai kontroversi yang mengatakan Misha pernah mendirikan rumah tangga sebelum ini.
“Kami sudah lama kenal dan saya selalu berada di sisinya. Bila masa pula dia berkahwin.
“Biarpun apa sahaja khabar angin yang keluar, saya tetap percaya kepadanya,” katanya.