Sharnaaz Ahmad Kontroversi murahan?



ENTAH di mana silapnya, nama Sharnaaz Ahmad sering dihimpit kontroversi bersama selebriti wanita yang mendampinginya.

Bermula dengan episod cinta terhalang bersama penyanyi popular, Shila Amzah, pelakon Juvana ini kemudiannya mencetuskan kontroversi apabila dituduh menjadi 'orang ketiga' dalam hubungan pasangan selebriti, Pekin dan Uqasha Senrose.

Hampir disalahkan ketika itu, Sharnaaz bagaimanapun kembali memanaskan laman sosial apabila memuat naik gambar-gambar mesra dengan adik Uqasha pula, iaitu Nellydia Senrose.

Turut berserta dengan kapsyen romantis, ia seolah-olah mengiakan hubungannya dengan Nellydia sebagai pasangan kekasih di luar set penggambaran.




Sementelah lagi perkara tersebut menimbulkan salah faham kepada kekasih Nellydia iaitu Qi Razali sehingga bekas pengacara Jalan-jalan Cari Makan itu 'mengamuk' di laman sosialnya.

Mengakui sudah memohon maaf terhadap Qi, Sharnaaz berkata, tindakannya itu semata-mata untuk mempromosikan drama tersebut.

"Bukan niat saya untuk memporak-perandakan hubungan mereka (Qi dan Nellydia) tetapi ia sekadar promosi bagi drama ini.

"Lagipun kapsyen tersebut merupakan dialog drama dan ia bukannya kata-kata cinta untuk Nellydia," tegasnya.

Enggan mengeruhkan lagi keadaan, Sharnaaz, berkata, dia akan lebih berhati-hati dan tidak mahu lagi memperbesarkan lagi isu tersebut.

"Saya mohon jangan ditanya lagi soal peribadi. Bukan mahu berahsia tetapi saya tidak mahu membesarkan isu ini," katanya yang bergandingan bersama Nellydia menerusi drama Bukan Kerana Aku
Tak Cinta (BKATC).

Bakal ke Singapura

Dalam perkembangan terkini, pelakon yang terkenal dengan watak Lan Todak, menerusi filem Juvana ini sekali lagi membotakkan kepalanya drama bersiri 60 episod itu.

Selain menggondolkan kepalanya, dia juga terpaksa menaikkan berat badannya demi menggalas watak sebagai Jebat.

"Ia dianggap sebagai satu penghormatan besar bagi saya kerana karakter ini sendiri rasa dekat dengan diri saya.

"Malah saya sanggup berkorban rambut dan masa ke gym demi memantapkan lagi bentuk badan saya.

"Alhamdulillah, setakat ini semuanya berjalan ancar dan tinggal sebulan sahaja lagi untuk tamat penggambaran," ujarnya.

Menurutnya, selepas tamat penggambaran drama itu dia akan terbang ke Singapura untuk menjayakan drama sekuel, Cinta Ramadan.

"Lagipun sekarang semua tawaran lakonan saya serahkan pada pihak pengurusan.

"Selepas drama ini, saya akan tumpukan drama di Singapura pula kerana sudah berjanji dengan pihak produksi sana," katanya mengakhiri perbualan.

BKATC ditayangkan setiap Isnin hingga Rabu, secara eksklusif di Mustika HD (saluran 134).
Previous Post Next Post