HAFIZ bimbang jika pemilik akaun palsu yang menggunakan namanya memberi jawapan atau panduan yang akan memesongkan akidah umat Islam.
BARU-BARU ini juara Pencetus Ummah musim pertama, Muhammad Hafiz Mohd Haneefa, 32, menimbulkan kontroversi apabila dia mengkategorikan rancangan televisyen berteras gosip, Melodi dan MeleTOP sebagai haram menerusi akaun Twitter di bawah nama Pencetus Ummah Hafiz.
Kosmo! turut mengeluarkan keratan status itu di ruangan laman sosial keluaran 15 Februari lalu. Nama Pencetus Ummah Hafiz atau dikenali sebagai Ustaz Hafiz hangat seketika kerana status itu.
Bagaimanapun, ketika Ustaz Hafiz dihubungi Kosmo! untuk mendapatkan kenyataan berhubung kontroversi terbabit, beliau begitu terkejut kerana selama ini beliau tidak pernah memiliki sebarang akaun di laman sosial Twitter.
Sedar namanya disalahguna oleh pihak tertentu, kata Ustaz Hafiz dia bersedia mengambil tindakan tegas jika pemilik akaun palsu itu masih berani menggunakan namanya untuk tujuan yang salah.
Ikuti temu bual Kosmo! bersamanya.
Kosmo!: Adakah benar baru-baru ini Ustaz Hafiz ada memuat naik status di Twitter bahawa rancangan televisyen Melodi dan MeleTOP adalah haram?
USTAZ HAFIZ: Pertama saya ingin katakan saya tidak pernah ada sebarang akaun Twitter. Saya hanya ada dua akaun dalam laman sosial iaitu di Facebook dengan nama Ustaz Hafiz - Pencetus Ummah (fan page) dan Hafiz Haneefa Pencetus Ummah (akaun peribadi). Jadi, secara jelas bukan saya yang memuat naik status tersebut.
Ini bermakna ada pihak lain yang mempergunakan nama Ustaz Hafiz?
Ya, memang benar, apabila benda ini sedang kecoh, saya sendiri melihat akaun palsu itu dan memang benar, dia mempunyai ramai pengikut. Mereka semua percaya akaun di Twitter itu adalah saya. Sejujurnya, saya tidak kisah jika ada peminat membuka akaun untuk saya tetapi apabila dia membuka soal jawab tentang agama untuk peminat bertanya, bagi saya itu sudah melampau. Saya bimbang jika dia tersalah bagi jawapan atau hukum, seperti menjual agama, itu boleh memudaratkan mereka yang bertanya dan percaya bulat-bulat kepada jawapan yang diberikan dalam akaun Twitter tersebut.
Adakah pihak anda akan mengambil sebarang tindakan bagi pemilik akaun Twitter palsu tersebut?
Setakat ini belum lagi, pihak pengurusan meminta saya membuat hebahan perkara sebenar di akhbar terlebih dulu. Saya sendiri tidak tahu siapakah dia sebalik nama Pencetus Ummah Hafiz di akaun Twitter itu. Jika pemilik akaun palsu itu masih berdegil dan masih menggunakan nama saya untuk soal jawab agama, saya akan mengambil tindakan seperti membuat laporan polis dan menyamannya jika terpaksa. Namun, jika boleh saya tidak mahu sampai ke tahap itu, kita boleh berbincang perkara ini dengan baik.
Jadi bagaimanakah pandangan Ustaz tentang program hiburan?
Secara peribadi saya tidak mahu menuding kepada mana-mana program hiburan, tetapi saya percaya penonton boleh menilai tentang sesuatu perkara yang baik atau tidak. Sejujurnya, saya sedang berusaha untuk menarik minat anak muda terhadap dakwah. Jadi saya tidak boleh terlalu lantang dalam memberi pendapat.
Bagaimanakah reaksi anda apabila nama anda popular dan tiba-tiba digunakan pihak lain?
Sejujurnya saya terkejut dan tidak sangka. Bagaimanapun, sebagai pendakwah zaman moden mahu tidak mahu saya terpaksa hadapi cabaran dunia tanpa sempadan iaitu internet. Tujuan saya ikhlas untuk berdakwah dan berharap selepas ini tiada lagi orang mengambil kesempatan.
Selepas bergelar juara Pencetus Ummah bagaimana dengan kehidupan anda?
Alhamdulillah, selepas bergelar juara kehidupan saya bertambah sibuk. Sebelum masuk program Pencetus Ummah saya sibuk juga tetapi kesibukan di skala kecil, cuma di negeri Selangor sahaja. Sekarang, saya berdakwah dari utara ke selatan untuk semua peringkat, dari orang biasa sehingga kerabat diraja. Syukur Allah memberi saya peluang yang sangat bernilai.
Apakah program terbaharu anda?
Selain sibuk berdakwah secara solo, saya dan semua peserta program Mimbar Pencetus Ummah akan mengadakan reunion. Kami akan membuat dakwah jelajah ke seluruh negara pada penghujung Mac ini. Jika ada yang berminat untuk menghadirinya, saya akan kemas kini tarikh dan lokasi program dakwah tersebut di akaun Facebook.