BUNKFACE berkolaborasi dengan Amy menerusi single, Situasi.
BERDIRI atas label indie selama lapan tahun, band punk rock, Bunkface, telah mengecapi populariti dan kejayaan yang bukan sedikit.
Dianggotai Sam (vokal, gitar), Paan (gitar utama) dan Youk (bass), Bunkface pernah memenangi Anugerah Industri Muzik ke-17 (AIM17) pada tahun 2010 untuk kategori Lagu Rock Terbaik menerusi lagu, Situasi.
Bahkan, Bunkface juga berjaya memenangi Anugerah Kembara AIM17 ekoran kejayaan mereka melebarkan sayap muzik ke luar negara.
Kejayaan Bunkface tidak terhenti di situ apabila mereka kemudiannya merangkul beberapa Shout! Award dua tahun berturut-turut pada tahun 2009 dan 2010.
Antara yang anugerah yang pernah dimenangi termasuklah Rockstar Award, Break Out Award, The Ultimate Shout! Award dan Music Video Award.
Evolusi band tiga anak muda yang berasal dari Klang, Selangor itu kini menapak setingkat lagi apabila bergabung dengan lagenda rock terkenal, Amy Search, melalui lagu Rentak Laguku.
Terkini, Bunkface mengambil keputusan untuk bernaung di bawah pengurusan syarikat rakaman Sony Music Malaysia (Sony Music).
Bukan serik atau lelah bergerak sendiri, namun vokalis Bunkface, Sam memberitahu, selepas diperkenalkan dengan Sony Music, mereka lantas terpanggil untuk mencuba nasib bergerak di bawah sebuah syarikat pengurusan.
Sam menaruh harapan, Sony dapat membantu supaya muzik mereka dapat disebarkan lebih meluas ke luar negara.
“Sudah lapan tahun kami bergerak sendiri sebelum kami diperkenalkan dengan Sony Music Malaysia. Meneliti apa yang mampu Sony Music berikan dan kami berfikir untuk mencuba.
“Kami mahu pergi lebih jauh dan berharap Sony Music mampu mengembangkan muzik kami. Bukan sebab serik bergerak sendiri.
“Bagaimanapun, Bunkface tidak akan berubah. Imej dan muzik kami masih sama. Cuma, kami diuruskan oleh Sony Music,” ujarnya ketika ditemui pada majlis menandatangani kontrak selama tiga tahun di bawah Sony Music di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sam juga berharap kerjasama antara Bunkface dan Sony Music tidak hanya usaha membawa mereka ke Indonesia dan Singapura, sebaliknya ke seluruh dunia.
Tiga album baharu
Sementara itu, Pengarah Urusan Sony Music, Julius Ng pula mengakui, pihaknya tidak akan mengubah identiti Bunkface.
“Sony Music hanya bekerjasama dengan Bunkface. Mereka (Bunkface) masih dengan gaya dan identiti sendiri kerana selama ini mereka sudah dikenali dengan cara sebegitu,” jelasnya.
Mengulas lanjut mengenai perjalanan Bunkface bersama Sony Music, ungkap Sam, Bunkface akan mengeluarkan tiga buah album dalam tempoh tiga tahun bernaung di bawah syarikat gergasi tersebut. Tidak hanya album, Bunkface juga masih dipertanggungjawab untuk menghasilkan lagu mereka sendiri.
“Kami masih menghasilkan lagu sendiri. Mungkin untuk lagu-lagu di masa akan datang ada sedikit kelainan. Tetapi ia atas kemahuan kami sendiri, bukan kerana Sony Music,” ujarnya yang masih mempunyai banyak idea untuk menghasilkan lagu buat bandnya.
Biarpun lagu Bunkface berentak punk rock, namun kata Sam yang meminati penyanyi Whitney Houstan dan Adele itu, setiap lagu Bunkface masih bertemakan cinta. Cuma cinta tersebut bukan diterjemahkan secara langsung.
“Walaupun konsep band kami evolusi namun setiap lagu kami ada cerita dan prngajarannya,” luah Sam.
Sam juga berharap Bunkface bukan sekadar trend tetapi mampu mencipta evolusi muzik tempatan.
Biarpun ada yang menyamakan Bunkface dengan band rock Amerika, Blink-182, tegas Sam, Bunkface miliki gaya dan persembahan berbeza di atas pentas.
“Konsep dan pengaruh itu memang ada daripada Blink-182 tetapi kami ada gaya dan persembahan sendiri,” tambahnya.