Seperti mana yang dijanjikan oleh pihak Liyana Jasmay melalui kenyataan oleh ibunya, Datin Habsah Simpon tempoh hari, semalam, Ahad setelah memasuki hari ketujuh aktres muda itu melahirkan cahaya mata pertamanya, dia dan suami telah pun mengumumkan nama yang menjadi pilihan mereka.
Sofia Arissa binti Mohd Fathuddin adalah pengikat kasih serta lambang sebuah keutuhan mahligai yang dibina Liyana dan Fathuddin semenjak Februari tahun lalu. Sebelum ini, Sofia Arissa dikenali dengan nama manja Baby S oleh peminat pelakon ini melalui respon komen di laman Instagram miliknya.
Pada Selasa yang lalu, bertarikh 13 Mei 2014, anak bongsu kepada pasangan Dato’ Jasmay Md Shah dan Datin Habsah Simpon ini telah selamat melahirkan seorang bayi perempuan secara normal seberat 2.9 kilogram, tepat pukul 7.40 di Pusat Perubatan Prince Court.
Selepas dilaporkan sihat dan tiada sebarang komplikasi dan sebagainya, Liyana yang cuba dihubungi Murai bagi mendapatkan info telah disambut kenyataan daripada ibu aktres itu yang memberitahu bahawa semuanya akan diberitahu selepas tujuh hari kelahiran cucu terbarunya itu.
Liyana melalui laman sosial Instagram miliknya, dia telah memuatnaik nama anaknya dalam bentuk kad untuk diuar-uarkan kepada semua tentang nama anak sulungnya, Sofia Arissa. Turut sama dikongsi dilaman Instagramnya adalah foto terkini Baby S dan suami tercinta, Mohd Fathuddin Mazlan.