PELAKON filem Laga, Putri Mardiana Zainal Abidin berkata, dia tidak pernah berdendam walaupun terpaksa menanggung malu rentetan insiden ditangkap khalwat bersama teman lelakinya, Sharizam Abdullah (Ejump), Ahad lalu.
Jelasnya, dia akan meneruskan kehidupan seperti biasa walaupun dikritik dan dipandang serong oleh masyarakat.
"Biarlah mereka nak kata apa, mulut orang bukan boleh ditutup. Sampai masanya mereka akan berhenti juga.
"Saya bukan jenis yang mahu merayu supaya mereka memaafkan saya dan meminta agar mereka tidak menghukum saya.
"Lagipun, apa yang berlaku ada hikmahnya dan ia menguatkan lagi semangat saya," akui aktres berusia 33 tahun ini.
Mesra disapa Nina, ujarnya, dia berasa lega kerana perkara tersebut sudah pun selesai dan dia tidak perlu memikirkannya lagi.
"Semua bukti ada pada kami, saya tidak tahu mengapa dia (bekas kekasih) tidak boleh menerima hakikat saya sudah bahagia dengan Ejump," katanya yang gembira kerana Ejump sentiasa memberikan sokongan dan berada di sisinya ketika dia memerlukan.
Ditanya bagaimana respons keluarga dan rakan-rakannya berkaitan hal ini, akui Nina, dia bersyukur kerana mereka sangat memahami.
"Kedua-dua keluarga tahu apa yang benar dan tidak, jadi kami tidak pernah rasa tertekan. Siapa yang tahu kebenarannya akan sentiasa ada bersama kami, bagi yang tidak tahu, tidak perlulah mengata yang bukan-bukan mengenai kami.
"Hanya menambah dosa sahaja," jelasnya.
Nina juga berkata, dia tidak gentar dengan andaian orang lain kerana dia hidup dengan usahanya sendiri.
"Bukan mereka yang memberi makan, membantu saya ketika susah.
"Tetapi keluarga dan orang-orang menyokong saya selama ini," katanya.
Ditanya adakah dia tahu mengenai komen yang dimuat naik oleh bekas isteri Ejump di laman sosial Facebook milik kenalan wanita tersebut, jelas Nina, sudah tentu dia tahu tentang perkara itu.
"Banyak perkara yang tidak diketahui oleh orang luar, apa yang boleh saya cakap, hanya saya, Ejump dan keluarga yang tahu cerita sebenar.
"Mengenai perkara itu, semuanya sudah diselesaikan di mahkamah," katanya.
Kahwin tahun hadapan
Dalam pada itu, Nina berkata, dia dan Ejump sedang membuat perancangan persiapan perkahwinan mereka yang dijangka berlangsung tahun hadapan.
"Perkara ini tidak menjejaskan apa-apa. Kedua-dua keluarga sudah maklum yang kami akan berkahwin.
"Bukan kerana ditangkap khalwat memandangkan perancangan sudah pun dibuat," katanya.
Tambah Nina, jika semua yang berlaku berjaya memuaskan hati pihak yang menganiayanya, dia menerimanya dengan hati terbuka.
"Kalau cara ini dapat gembirakan mereka, kami dah berjaya mengatasinya," katanya.
Berkongsi mengenai Ejump pula, kata Nina, dia dan Ejump walaupun sudah lama berkenalan tetapi baru sebulan hubungan mereka benar-benar serius.
"Saya lihat dia satu-satunya lelaki yang bersungguh-sungguh menerima saya dan anak-anak. Malah keyakinannya ingin menjadikan saya isteri membuatkan saya lebih bersedia menerimanya," katanya yang kini mempunyai kerjaya tetap di sebuah syarikat swasta di ibu negara.
Bertanya mengenai karier lakonannya, Nina memberitahu, dia hanya akan menerima jika tawaran yang diberikan kepadanya berbaloi.
"Bukan 'demand' tetapi saya mahu memastikan apa yang saya dapat mampu membantu kehidupan saya," katanya.
Sebelum ini, sebuah akhbar tempatan melaporkan, Nina yang juga seorang ibu tunggal kepada tiga cahaya mata diserbu oleh Jais jam 3.23 pagi Ahad lalu di sebuah kondominium di Ukay Perdana, Ampang dalam satu siri serbuan Bahagian Penguatkuasaan Jais berdasarkan maklumat orang awam.