Eyka Farhana komited bina portfolio



SETIAP orang punya cita-cita dan impian. Mengejar misi yang ingin dicapai dalam hidup, itu antara yang terpatri dalam diri setiap individu. Begitu juga dengan diri pelakon yang sedang meningkat naik, Eyka Farhana.

Orangnya hanya bertubuh kecil. Bagaimanapun, itu semua hanya luaran. Ukuran fizikal tidak melambangkan apa yang tersemat dalam diri seseorang. Segenit-genit dirinya, dia punya cita-cita menggunung dan jiwanya cukup besar.

Dia tahu apa yang ingin digapai dalam meniti hari-hari mendatang.

Berjinak-jinak dengan dunia lakonan sejak berusia 15 tahun, gadis kelahiran Kuala Lumpur itu sedang bergerak maju ke hadapan. Tahun ini, merupakan tahun kelima buatnya bergelar pelakon.

Jika ingin dibandingkan de­ngan insan yang berada dalam kelompok tempoh sama, langkah pelakon yang mesra disapa Eyka itu mungkin tidak selaju yang lain. Namun begitu, dia tidak pernah berhenti melangkah. Kata orang, biar perlahan, tetapi sudah cukup bagus, jika mampu memberikan rentak yang konsisten.




Lagipun katanya, dia percaya kepada rezeki.

“Saya mula berlakon sejak di tingkatan tiga lagi. Ketika itu, saya masih bersekolah, jadi agak sukar untuk bersetuju menerima tawaran berlakon. Ini kerana saya kena lihat jadual penggambaran untuk pastikan tidak mengganggu waktu belajar.

“Selepas tamat persekolahan, barulah saya berpeluang untuk bergerak dengan lebih aktif ke­rana sudah tidak terikat de­ngan pelajaran,” ceritanya ketika ber­temu dalam satu sesi fotografi bersama Sensasi Bintang di Bagasta Boutique Guesthouse, Kuala Lumpur baru-baru ini.


EYKA sentiasa memperbaiki diri dan komited dalam memberikan mutu yang terbaik dalam lakonannya.

Watak remaja

Kelibat Eyka menghiasi kaca televisyen boleh dikatakan mula dikesan menerusi drama bersiri Juvana. Wajahnya yang ayu dan manis membuatkan ramai tertanya-tanya siapa gerangan dirinya. Ketika itu, Eyka masih baru lagi dalam kerjaya seni.

Lakonannya sebagai Nadia yang merupakan anak kepada makcik kantin benar-benar meninggalkan kesan kepada pengikut setia drama tersebut. Biarpun bukan memegang watak utama, sejak daripada situ, dia mula dikenali. Satu demi satu naskhah yang menghiasi kaca televisyen kemudian memaparkan wajahnya.

Karakter yang kerap dipegang Eyka juga tidak jauh daripada usianya. Menginjak umur 19 tahun, Eyka mengakui, dia kini masih banyak diberi pera­nan memegang watak remaja.

“Mungkin juga faktor fizikal (berbadan kecil) yang membuatkan saya banyak ditawarkan dengan karakter sebagai budak sekolah. Watak seperti itu memang sudah selalu dipegang,” ujar pelakon drama Ramadan Terakhir itu.

Kongsi Eyka, dia sebenarnya tidak kisah dengan imej budak sekolah yang acapkali dikaitkan dengan dirinya. Dia mengerti bahawa tugasan untuknya menggalas watak-watak lebih berat mungkin akan menyusul mengikut peredaran usia.

“Untuk pegang watak wanita yang lebih matang, itu semua kena tunggu masa. Bagi saya, masa akan tiba juga nanti. Sekarang, saya juga ada berlakon sebagai remaja yang baru tamat persekolahan. Lagipun, ia mungkin lebih bersesuaian dengan umur saya,” ujar pemilik nama sebenar Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi itu.

Sungguhpun begitu, me­nurut Eyka, pada masa sama, dia sebenarnya mengimpikan untuk memegang watak yang lebih mencabar daripada aspek fizikal.

“Saya sebenarnya seorang yang sedikit kasar. Jadi, kalau diberi peluang, saya mahu cuba membawakan watak aksi kerana ia satu cabaran buat saya untuk mempelbagaikan lagi watak lakonan sedia ada,” kongsinya.


EYKA berhasrat untuk menyambung pengajian dalam bidang teater bagi menuntut lebih banyak lagi ilmu dalam bidang seni lakonan.

Fokus kerja

Jelas Eyka, tahun-tahun mendatang merupakan fasa buatnya untuk cuba menjadi yang lebih baik. Dia tidak pernah mele­takkan rasa cepat ber­puas hati dengan apa yang diberikan dalam satu-satu hasil kerja.

Dia menganggap, setiap naskhah merupakan tempoh pembelajaran terbaik buatnya untuk memperbaiki segala kelemahan dalam lakonannya pada masa akan datang.

“Sudah menjadi kelaziman, setiap kali drama lakonan saya ditayangkan di televisyen, saya akan turut serta menonton. Jadi, menerusi cara itu, saya dapat kenal pasti apa-apa kekurangan yang telah dilakukan. Daripada situ, saya belajar untuk tidak mengulangi dan cuba memperbaikinya pada lakonan berikutnya,” katanya.

Jelas Eyka, pada masa ini, dia mahu memberi fokus sepenuh­nya kepada bidang lakonan yang menjadi periuk nasinya.

“Kini, saya mahu lakukan sehabis baik. Inilah masa yang perlu digunakan sebaik-baik­nya untuk kembangkan karier. Jika dulu, saya banyak terpaksa tolak tawaran berlakon dan tidak dapat meme­nuhi permintaan sesi fotografi kerana masih belajar, tapi tidak lagi sekarang,” jelasnya.

Sambung belajar

Menurut Eyka, dia kini dalam peran­cangan untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, pelajaran itu tetap pen­ting dalam apa jua kerjaya yang ingin dibina, termasuklah sebagai seorang pelakon.

“Lepas habis sekolah, saya tidak terus sambung pelajaran kerana mahu bekerja terlebih dahulu. Lagipun, saya mahu berehat seketika dulu.

“Bagaimanapun, sekarang saya bercadang untuk menyambung pe­ngajian dalam bidang teater,” katanya yang mahu menjadi pelajar di Akademi Seni Warisan dan Kebangsaan.

Menurut Eyka lagi, bidang teater sebenarnya banyak memberi kele­bihan kepada pelakon.

Ujarnya, biarpun dia berlakon drama, tetapi mereka yang mempunyai ilmu teater cenderung untuk memberikan mutu lakonan yang bagus.

“Teater lebih kepada bermain dengan ekspresi dan emosi. Jadi, pada saya kebiasaannya mereka yang belajar teater apabila masuk beraksi di hadapan kamera jadi lebih mudah,” ujar pelakon drama Sejadah Kaabah itu.

Tepis kontroversi

Sebagai artis, Eyka sedar dirinya tidak boleh lari daripada menjadi perhatian umum.

Buktinya, dia juga pernah terpalit dengan cerita yang kurang enak. Semuanya terjadi apabila imej dirinya berpakaian seksi yang didakwa bersosial di kelab malam tersebar.

Biarpun begitu, pelakon Cinta Pontianak Gua Musang itu tidak cepat melatah.

“Bagi saya, apa yang saya pakai ketika itu tidaklah seksi. Cuma mungkin, setiap orang mempu­nyai cara menilai dan pandangan tersendiri. Gambar yang dikatakan kelab malam itu juga sebenarnya bukan seperti apa yang disangkakan umum. Ketika itu, saya berada di satu majlis dan lokasinya kelihatan seperti kelab malam,” katanya.

Tambah Eyka, sebagai insan biasa, dia tidak mampu menutup mulut orang daripada terus bercakap.

“Ada kalanya apabila ada komen-komen pengikut yang kurang enak di Instagram, saya cenderung untuk terus buang gambar yang dimuat naik daripada akaun.

“Ia lebih mudah kerana dapat mengelak daripada isu tersebut te­rus berpanjangan,” katanya yang kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama Istikharah Cinta.



Previous Post Next Post