Ary Klangit nafi tidak sebulu


ARY menafikan ahli kumpulan Klangit kini membawa haluan masing-masing.

BARU-BARU ini, sebuah akhbar mingguan tempatan melaporkan, vokalis kumpulan Klangit, Ary dikatakan sudah tidak sebulu dengan anggota kumpulannya.

Apa tidaknya, pelantun yang popular menerusi lagu Sesal Mendua itu dikatakan suka mengambil tawaran nyanyian seorang diri tanpa melibatkan dua ahli kumpulannya, Ewan dan Haris.

Lebih mengejutkan, ketika penulis menghadiri majlis Anugerah Industri Muzik Ke-21 (AIM) baru-baru ini, penulis hanya melihat kelibat Ary bersama pengurus peribadinya sahaja meskipun kumpulan tersebut tercalon dalam kategori Muzik Video Terbaik.




Ketika berpeluang bertemu penyanyi berusia 28 itu pada sesi fotografi yang diaturkan di Ibu Pejabat Utusan Malaysia, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini digunakan sebaik-baiknya oleh penulis untuk mencungkil konflik yang dikatakan sedang berlaku terhadap kumpulan yang memulakan karier nyanyian pada tahun 2008.

Sebaik sahaja selesai sesi fotografi, soalan itu terus diajukan kepadanya.

“Terus terang saya katakan, hubungan saya bersama anggota kumpulan Klangit masih lagi baik. Kami masih berhubung dan menerima tawaran nyanyian seperti biasa.

“Berhubung dakwaan kononnya saya suka mengambil tawaran nyanyian seorang diri, tidak dinafikan kadangkala ada penganjur yang meminta saya untuk membuat penampilan solo.

“Ini memandangkan bajet yang diperuntukkan tidak mencukupi. Bagaimanapun, kami sering bersama jika mendapat undangan nyanyian berkumpulan,” ujarnya.

Menurutnya, isu yang mengatakan mereka tidak sebulu timbul disebabkan ahli kumpulan lain mempunyai komitmen kerja yang padat.

Bagaimanapun, jelasnya, ini tidak berlaku kepadanya memandangkan bidang nyanyian merupakan kerjaya sepenuh masa baginya.

“Disebabkan itu, mungkin ramai pihak beranggapan kami tidak lagi bersama dan hanya melihat kelibat saya sahaja dalam industri seni,” jelas Ary menepis dakwaan kononnya kumpulan Klangit sudah berpecah dan membawa haluan masing-masing.

Biarpun cerita sensasi tentang Klangit tidak pernah berkesudahan sejak kumpulan tersebut muncul di persada seni tanah air, namun Klangit tetap optimis untuk terus berjuang dalam industri seni tanah air.

Paling meninggalkan impak buruk, insiden persembahan ‘kelaut’ di pentas AIM terus jadi sebutan hingga ke hari ini meskipun sudah dua tahun berlalu.

Bayangan lagu Sesal Mendua yang dinyanyikan Ary masih menjadi bahan kritikan ramai sehingga sekarang.

Bagaimanapun, kata Ary atau nama sebenarnya Mohamad Nor Hadre Ayub, kegagalan tersebut tidak pernah mematahkan semangatnya untuk menerbitkan album kedua yang akan dilancarkan dalam waktu terdekat bagi menambat kembali hati pendengar tanah air.

“Saya percaya, peminat tidak akan selamanya menolak lagu kami. Insiden tersebut sudah lama berlalu dan pengalaman itu saya jadikan pengajaran untuk memperbaiki diri ke arah lebih baik.

“Insya-Allah dalam waktu terdekat, Klangit bakal tampil dengan album kedua berjudul Satu Sama. Sebanyak lapan buah lagu baharu akan dipertaruhkan. Single kami berjudul Tak Mau Dusta-Dusta dan Satu Sama nyanyian duet bersama Ila Damia sudah diputarkan di corong-corong radio,” ujarnya.



Previous Post Next Post