EKSPLORASI bakat pelakon jelita, Amyra Rosli semakin membuahkan hasil. Biarpun belum sampai dua tahun bergelar anak seni, namun impak lakonannya mula menjadi perhatian khalayak.
Bagaimanapun, sudah adat menjadi anak seni, sewaktu dirinya sedang enak membina portfolio sebagai pelakon, Amyra tidak boleh lari daripada cerita sensasi. Pernah tercalit sejarah hitam apabila dikatakan mempunyai masalah disiplin di lokasi penggambaran.
Terbaharu, pelakon berusia 23 tahun itu dikatakan sudah mula bersifat demand sejak diberi peluang tampil sebagai teraju utama drama mahupun telefilem.
Bertemu pemilik nama sebenar Nur Amira Izzati Rosli pada sidang media pelancaran program realiti Pencarian Wajah Aurawhite di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini, Amyra dengan tenang menafikan kontroversi tersebut.
“Tidak benar. Saya tidak pernah demand sepanjang hampir dua tahun bergelar pelakon. Siapa yang pernah bekerjasama dengan saya pasti tahu sama ada saya jenis yang demand atau tidak.
KEHADIRAN Amyra kini sudah diterima peminat seni di negara ini.
“Terus terang, saya seorang yang tidak berkira apabila menerima sesuatu tawaran lakonan. Disebabkan itu, mungkin ramai yang senang bekerja dengan saya selama ini.
“Apabila berada dalam satu industri, saya akan bekerja dan berjumpa dengan orang yang sama.
“Jadi, melalui perbincangan yang baik, isu demand pasti tidak akan timbul,” jelasnya.
Tambah Amyra, mungkin disebabkan dia menolak beberapa tawaran berlakon menyebabkan dirinya terpalit kontroversi tersebut.
Bagaimanapun, Amyra mempunyai alasan tersendiri bagi menjawab persoalan itu.
“Saya tolak sesuatu tawaran pasti bersebab.
“Sebagai contoh, ketika menjalani penggambaran drama Suamiku Encik Sotong, saya akui ada menolak beberapa tawaran kerana perlu memberi sepenuh komitmen dalam watak itu.
“Bayangkan sepanjang sebulan sesi penggambaran dijalankan, saya perlu sentiasa berada di lokasi penggambaran kerana tuntutan watak utama sebagai Erica Soffea,” ujar Amyra yang tidak mahu menyusahkan pihak lain sekiranya menerima dua tawaran dalam satu masa.
Dalam perkembangan lain, Amyra memberitahu, sambutan drama Suamiku Encik Sotong sangat memberangsangkan sehingga mencatat rating lebih sejuta penonton setiap kali ke udara.