Hubungan intim antara pelakon jelita Nora Danish dan Muhammad Nadem Nazri atau lebih dikenali sebagai Nadeem yang juga anak Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz, bukan lagi rahsia.
Malah, pasangan itu secara terang-terangan memaparkan kemesraan mereka melalui laman sosial Instagram baik di dalam akaun peribadi milik Nora mahupun Nadeem sendiri.
Khabarnya hubungan pasangan sejoli yang AM lihat mempunyai iras wajah ini (menurut orang tua-tua kalau muka seiras kononnya sejuk rumah tangga) sudah bersedia membawa hubungan mereka ke fasa lebih serius.
Seseorang yang mengenali rapat pasangan ini memaklumkan, Nora dan Nadeem mempunyai perancangan untuk mendirikan rumah tangga selewat-lewatnya hujung tahun ini.
Dalam diam mereka sebenarnya sudah pun membeli barang-barang hantaran sedikit demi sedikit. Bukan itu saja, beberapa nama pereka fesyen terkenal juga sudah berada dalam senarai yang akan mereka busana perkahwinan mereka.
Betul atau tak? Wallahualam tetapi beginilah bunyi ceritanya yang disampaikan kepada AM. Jika benar, alhamdulillah. Apa lagi yang nak ditunggu kalau mata ke mata sudah terpaut, hati ke hati sudah terikat.
Lagipun, AM tidak nampak Nora mahupun Nadeem mempunyai masalah jika mahu melangsungkan perkahwinan sekalipun esok kerana keduanya-duanya stabil dan punya nama.
Tambahan pula, mereka berdua pernah melalui pengalaman sama iaitu pernah bercerai. AM yakin pengalaman lalu akan lebih mematangkan mereka, sekali gus mengemudi rumah tangga sebaiknya berbanding sebelum ini.
ARTISMELETOP: Semoga mereka terus bahagia.