Mohd Mentor dituduh merogol


MOHD akhirnya lega kerana didapati tidak bersalah atas tuduhan merogol.

Gara-gara dituduh merogol seorang penyanyi wanita, penyanyi Mohd Mentor atau nama sebenarnya Mohamad Izwan Mohamad Nor, 26, menerima pelbagai kecaman.

Namun, Mohd kini lega dan bersyukur apabila namanya kembali bersih selepas dibebaskan dari pertuduhan yang mencalarkan namanya itu.

Selepas siasatan dijalankan, pihak polis mendapati tiada bukti kukuh yang boleh mengaitkan namanya dan September 2013 menjadi tarikh bersejarah buat Mohd apabila dilepaskan daripada tuduhan merogol Noor Nazatul Farahin atau Zatul, 25, bekas peserta Mentor 5 pada 31 Januari tahun lalu.

“Alhamdulillah kes itu sudah selesai dan berpihak kepada saya. Memang saya bercadang nak buat sidang media tapi masih belum berkesempatan. Paling mengujakan keputusan ini diperoleh selepas sambutan Aidilfitri lalu dan saya anggap ia hadiah yang amat bernilai.

“Kes ini juga tak dibawa ke mahkamah kerana tiada bukti yang boleh disabitkan. Saya pernah terfikir nak menyaman kembali Zatul tapi ia memakan masa. Jadi ada baiknya saya bersihkan nama kerana saya memang teraniaya,” katanya kepada RAP.

Mohd berkata, sebelum perkara ini selesai, dia terpaksa berdepan dengan rasa malu yang teramat sangat. Bahkan rezekinya juga tersangkut kerana dipandang hina pelbagai pihak.

“Saya sudah hampir dilantik sebagai Ikon untuk Kementerian Pengajian Tinggi yang ketika itu diterajui Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Pemilihan ini dibuat kerana dulu saya belajar di Politeknik Pasir Gudang. Apabila disabitkan dengan kes rogol, tawaran ini hilang begitu saja.




“Begitu juga dengan tawaran ‘show’ yang terus terhenti. Moral dan imej saya juga merudum dengan teruk. Bayangkan kesengsaraan yang terpaksa saya lalu. Apapun, keputusan ini memang buat saya lega. Ada juga yang bertanya tapi saya belum bersedia buka mulut ketika itu.

“Sebaik keputusan dibuat, saya buat kenduri kesyukuran di kampung. Saya berhasrat nak bangkit semula untuk cari makan dalam bidang seni. Masyarakat tak tahu kes ini sudah selesai dan mereka masih pandang serong pada saya. Itulah sebabnya saya nak buat sidang media untuk lancar ‘single’ sekali gus menjelaskan perkara sebenar nanti,” katanya.

Dia mengakui lebih berhati-hati untuk berkawan dengan wanita selepas ini dan memilih kawan agar tidak terjebak dan perkara serupa berulang kembali nanti. Fokusnya kini juga lebih terarah kepada karier.

Pertaruhkan Segala



Mohd kini tampil dengan ‘single’ terbaru berjudul Segala ciptaan Hyper Act dan lirik Frozen. Lagu ini dirakam pada November tahun lalu dan baru sekarang dipasarkan kepada peminat.

“Lagu ini berkonsep balada dan pernah jadi runut bunyi untuk drama Playboy Itu Suami Aku. Alhamdulillah, ia sudah semakin diterima ramai. Saya memang berkawan baik dengan anggota kumpulan Hyper Act dan tahu kebolehan mereka. Jadi tak salah kalau saya menyanyikan lagu mereka.

“Ini adalah ‘single’ keempat selepas ‘single’ pertama berjudul Cinta pada 2010, Nasib (2011) dan Hilang Cahaya (2012). Saya juga sudah bebas sebagai artis rakaman Monkey Bone sejak setahun lalu dan kini bergerak sendiri. ‘Single’ ini diedarkan oleh Music Valley dan ia sebuah projek khas.

“Tengoklah jika sesuai mungkin kami boleh berbincang lanjut untuk projek berikutnya. Saya buka pintu kepada sesiapa yang sudi untuk berbincang mengenai tawaran menjadi artis mereka,” katanya yang kini diuruskan oleh FH Global Entertainment.

Mohd mengakui namanya kurang menyerlah meskipun sudah empat tahun berada dalam industri seni. Dia mengharapkan tahun 2014 dan lagu Segala dapat memberi sinar baru dalam kariernya.

“Saya tak berapa memuncak, tapi alhamdulillah dapat bertahan. Justeru saya harapkan lagu ini bawa perubahan dalam karier saya. Tambah pula Hyper Act baru saja menang tempat kedua dalam Anugerah Juara Lagu (AJL28), baru-baru ini, jadi diharapkan tempiasnya akan kena pada saya juga.

“Tak dinafikan perasaan kecewa tetap ada dengan apa yang dialami, tapi saya tetap bersyukur kerana ‘show’ tetap ada setiap minggu. Saya juga beruntung kerana di pilih menyanyikan semula lagu Setiaku Disini untuk album kompilasi lagu ciptaan komposer Salman.

“Muzik lagu ini dibuat susunan semula bagi disesuaikan dengan vokal saya. Rakaman dibuat pada September lalu dan mungkin akan dipasarkan pada tahun ini. Saya beritahu perkara ini kepada kak Ziana dan dia bagi restu untuk saya menyampaikannya.

“Perasaan saya amat bangga kerana dapat menyanyikan lagu yang ada kena mengena dengan Mentor sendiri. Tambah lagi lagu ini kuat dan dianggap ‘legend’ oleh peminat dunia seni tanah air. Ini antara perkara yang boleh bantu menaikkan nama saya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, dia masih lagi mengusahakan bisnes restoran yang diuruskan oleh keluarganya di Ulu Tiram, Johor. Mohd turut bercadang membuka cawangan di Kuala Lumpur sekiranya ada rezeki.
Previous Post Next Post